Malaysia Dateline

272 mangsa banjir di Perak masih ditempatkan di PPS

Sejumlah 272 mangsa banjir membabitkan 80 keluarga ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di dua daerah di Perak, yakni di Hilir Perak dan Batang Padang setakat petang ini.

Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) berkata jumlah itu menunjukkan pengurangan kawasan banjir setakat pukul 6.00 petang berbanding tiga daerah pada tengah hari semalam.

“Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang dibuka bagi mangsa banjir bagi Larut Matang dan Selama yang menempatkan 17 penduduk daripada enam keluarga telah ditutup,” katanya ketika dihubungi semalam.

Bagaimanapun beliau berkata daerah Hilir Perak mencatatkan peningkatan jumlah mangsa iaitu 191 orang daripada 53 keluarga yang ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Changkat Jong, Teluk Intan berbanding 180 orang daripada 48 keluarga tengah hari tadi.

Ia melibatkan mangsa dari Kampung Batu 9, Kampung Batu 7, Lorong Mesra Batu 7 1/2, Lorong Sidang Osman dan Batu 8.

Katanya jumlah mangsa yang ditempatkan di PPS Dewan Orang Ramai Kampung Sungai Klah Baru di daerah Batang Padang masih kekal seramai 81 penduduk membabitkan 27 keluarga dari Kampung Sungai Klah Baru, Sungkai.

— BERNAMA