Tiga beradik Tionghua curi tumpuan berkhatan beramai-ramai

Tiga beradik Tionghua curi tumpuan berkhatan beramai-ramai

Majlis berkhatan anjuran Rukun Tetangga (KRT) Taman Mahsuri dekat Jitr,Kedah mencuri tumpuan dengan kehadiran tiga beradik berketurunan Tionghua untuk dikhatankan di Dewan Orang Ramai Taman Mahsuri, hari ini.

Lee You Jin, 4;Lee You Quan, 7 dan Lee Ming Xuan, 10 dikhatankan bersama-sama 57 peserta lain berusia empat hingga 11 tahun.

Menurut bapa mereka Lee Kaw Seng, 40 , keputusan untuk mengkhatankan tiga anaknya itu dibuat selepas mendapat pelawaan daripada rakan-rakannya yang berbangsa Melayu.

“Saya tak paksa mereka tetapi mereka yang nak berkhatan dalam majlis itu kerana kami tahu kebaikan berkhatanan dapat mengeratkan hubungan yang sedia terjalin,” katanya ketika ditemui pemberita hari ini.

Seorang daripada anaknya, Ming Xuan berkata pada mulanya dia berasa takut, namun selepas mendapat kata-kata semangat dari rakan-rakan Melayu perasaan itu hilang.

“Seronok, sakit sikit saja… saya lega dah selamat bersunat dengan kawan-kawan lain dan selepas ini boleh bermain seperti biasa,” katanya.

Lee Ming Xuan, 10 (kiri), Lee You Quan, tujuh (dua kiri) dan Lee You Jin, empat (tiga, kiri) turut menyertai Majlis Berkhatan Beramai-ramai anjuran Kawasan Rukun Tetangga Taman Mahsuri di Dewan Taman Mahsuri hari ini. -Foto Bernama.

Nenek mereka,Bok Yat Choo, 59, berkata amalan berkhatan tidaklah asing bagi kaum mereka malah dia turut membuat persiapan termasuklah mengenal pasti makanan pantang agar mereka cepat sembuh.

Sementara itu, Pengerusi KRT Taman Mahsuri, Ahmad Shaker Ahmad berkata majlis yang julung kali diadakan berkenaan mendapat sambutan luar biasa dengan 60 peserta berbanding sasaran hanya 50 orang.

Terdahulu, kanak- kanak tersebut diraikan dengan pancutan air jentera bomba dan dibawa menaiki kenderaan pacuan empat roda daerah Kubang Pasu Jerlun (KPJ) mengelilingi sekitar taman tersebut.

CATEGORIES
TAGS