Malaysia Dateline

277 mati, 1,075 dalam ICU

Sebanyak 277 kes kematian dilaporkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia hari ini menjadikan kumulatif kes kematian akibat COVID-19 adalah 11,968 kes.

Daripada jumlah ini, seramai 96 kes membabitkan kematian sebelum tiba di hospital iaitu 65 orang warganegara dan 31 bukan warganegara.

Seramai 1,075 orang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) di mana 537 orang memerlukan alat bantuan pernafasan.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Noor Hisham Abdullah berkata, daripada 21,468 kes harian yang dilaporkan pada hari ini, sebanyak 670 kes (3.1 peratus) adalah daripada kategori 3, 4 dan 5.

Manakala sebanyak 20,798 kes (96.9 peratus) lagi adalah terdiri daripada kategori 1 dan 2.

“Ini adalah berdasarkan keadaan klinikal kes semasa baharu didiagnosa COVID-19.

“Ada di antara kes kekal di kategori yang sama sepanjang tempoh jangkitan, namun ada juga yang berubah status kesihatan kes sama ada bertambah baik ke kategori lebih rendah atau merosot ke kategori lebih tinggi,” katanya.

Secara keseluruhan, 2,703 kes (12.6 peratus) daripada jumlah kes yang dilaporkan pada hari ini telah lengkap di vaksinasi (iaitu yang telah lengkap dua minggu tempoh selepas dos kedua vaksin).

Berdasarkan data terkini pada 12 Ogos 2021, nilai RT Malaysia adalah sebanyak 1.05.

Negeri yang mencatatkan nilai RT yang tertinggi adalah Perlis (nilai RT 1.33) diikuti oleh Sabah dan
Kelantan (masing-masing nilai RT 1.20), serta Sarawak dan Pulau Pinang (nilai RT 1.17).

Semua negeri mencatatkan RT melebihi 1.0 kecuali Wilayah Persekutuan Labuan dan Wilayah Persekutuan Putrajaya.