Malaysia Dateline

28 Adun PH Johor akan bermesyuarat malam ini

Seramai 28 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dari Pakatan Harapan (PH) Johor akan bermesyuarat pada malam ini.

Mesyuarat itu diadakan susulan perkenan Istana Johor untuk Gabungan Baharu dibentuk bagi mentadbir kerajaan negeri.

Pengerusi AMANAH Johor, Aminolhuda Hassan ketika dihubungi Malaysia Dateline mengesahkan mesyuarat tersebut akan diadakan pada jam 8 malam ini.

“Tujuan mesyuarat diadakan pada malam ini adalah untuk membincangkan tentang gerakan seterusnya daripada pihak kami,” katanya hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya tentang Gabungan Baharu bagi pentadbiran kerajaan negeri yang berada di paling selatan tanah air itu.

Istana Johor menerusi satu kenyataan hari ini memberitahu, Sultan Ibrahim berpuas hati Gabungan Baharu membentuk kerajaan negeri selepas ia mendapat sokongan majoriti daripada 28 Adun berbanding 26 Adun yang memilih PH.

Johor mempunyai 56 kerusi Dun. Daripada jumlah itu, DAP dan Umno masing-masing mempunyai 14 kerusi, Bersatu (11), AMANAH (9), PKR (5), MIC (2) dan Pas (1).