Malaysia Dateline

28 individu termasuk Ahli Parlimen, Senator dijangkiti Covid-19

Seramai 28 individu termasuk dua Ahli Parlimen dan seorang Senator disahkan positif Covid-19 sebelum persidangan Parlimen.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan malam tadi berkata, dua Ahli Parlimen terbabit disahkan positif menerusi saringan di luar Kompleks Parlimen.

Sementara itu, Senator dan 25 kakitangan Parlimen disahkan positif selepas saringan dijalankan Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK) di Kompleks Parlimen pada 10 dan 11 September lalu.

“Daripada jumlah itu, 15 daripada mereka disahkan Covid-19 antara 27 Mei hingga 1 September lalu manakala 13 individu lagi baru saja dikesan positif buat kali pertama ketika saringan pada 10 sehingga 11 September lalu.

“Justeru, 13 individu yang kali pertama disahkan positif tidak dibenarkan hadir ke sidang Parlimen, diasingkan dan diberi Perintah Pengawasan dan Pemerhatian (HSO) sehingga diberi keputusan akhir penilaian oleh Kementerian Kesihatan (KKM),” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Menurut Dr Noor Hisham, bagi 15 individu yang positif pula, kes mereka akan disiasat semula untuk menilai tahap kesihatan dan jangkitan supaya tindakan lanjut dapat diambil.

“Mereka juga tidak dibenarkan hadir ke sidang Parlimen sehingga diberi keputusan akhir penilaian oleh KKM. Keputusan siasatan ini akan dimaklumkan segera selepas dimuktamadkan,” katanya.

Sehubungan itu, selepas mengambil kira situasi semasa Covid-19 ketika ini dan keputusan saringan dijalankan sebelum persidangan Parlimen, beliau berkata, KKM menasihatkan semua individu yang akan hadir ke Parlimen dikehendaki mematuhi SOP dan peraturan sedia ada.

Jelasnya, ia untuk memastikan persidangan dapat berjalan lancar, selamat serta penularan Covid-19 dapat dicegah ketika Parlimen bersidang.

Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen Keempat Belas dijadualkan berlangsung pada 13 September hingga 26 Oktober ini.