Malaysia Dateline

28 keluarga terjejas akibat tanah runtuh di Kemensah Height

28 keluarga dari 19 rumah teres dua tingkat di Kemensah Height, Ampang, dipindahkan ke pusat pemindahan sementara susulan tanah runtuh malam tadi.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 9.33 malam.

“Sepasukan anggota bomba bersama beberapa jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ampang dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba, kami mendapati berlaku tanah runtuh di bahagian belakang 19 rumah di kawasan terbabit,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Beliau berkata, pihaknya mengarahkan 28 keluarga berkenaan supaya keluar dari rumah masing-masing ke pusat pemindahan sementara bagi mengelakkan sebarang kemungkinan tidak diingini.