Malaysia Dateline

29 kluster keagamaan sejak seminggu, angka harian terus bertambah

Sebanyak 29 kluster keagamaan direkodkan Kementerian Kesihatan (KKM) setakat hari ini sejak 14 Mei lalu.

Dalam tempoh seminggu lalu, kluster keagamaan merangkumi 25 peratus daripada keseluruhan 118 kluster direkodkan.

Selama dua hari berturut-turut, enam kluster keagamaan dikenalpasti sekali gus angka kluster harian tertinggi sepanjang tempoh tersebut.

Hari ini sahaja, enam daripada 24 kluster baharu merupakan kluster keagamaan dengan Selangor dan Johor masing-masing mempunyai dua kluster.

Sementara itu, Kedah dan Sabah masing-masing mempunyai satu kluster. Kluster Dah Berapit yang melibatkan daerah Kuala Muda dan Kulim mencatatkan 36 kes positif Covid-19.

Kluster Jalan Kretam Silimpopom di Kalabakan pula mencatatkan jumlah jangkitan tertinggi berbanding kluster lain iaitu 42 kes dengan 142 penduduk disaring.

Semalam, Kluster Jalan Kenanga Pertama di Sabak Bernam, Selangor menyebabkan 200 orang disaring dengan 29 orang daripadanya sah positif Covid-19.