Malaysia Dateline

296 sekolah di Kuala Lumpur dibuka esok

Selepas ditutup selama dua hari mulai 19 September lalu, semua sekolah di Kuala Lumpur akan dibuka seperti biasa esok berikutan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di stesen Batu Muda dan stesen Cheras di bawah 200 pada pukul 5.00 petang hari ini.

Kenyataan rasmi Kementerian Pendidikan hari ini menyebut langkah pengoperasian semula melibatkan 296 sekolah itu diambil berdasarkan trend bacaan IPU di kedua-dua stesen tersebut semakin menurun.

“Sebarang perubahan dan makluman tertentu akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

“Pihak sekolah turut diingatkan mengikut prosedur operasi standard yang ditetapkan serta mengutamakan kesihatan murid dan guru sepanjang masa,” kata Pengarah Pendidikan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategorikan baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) manakala 300 ke atas berbahaya.

Orang ramai boleh melakukan semakan bacaan IPU dengan melayari http://apims.doe.gov.my.