Malaysia Dateline

298 sekolah di daerah Petaling tutup dua minggu mulai esok

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengumumkan semua sekolah di zon merah daerah Petaling, Selangor akan ditutup mulai esok sehingga 25 Oktober ini ekoran gelombang ketiga Covid-19.

Keputusan tersebut selaras dengan perutusan khas Perdana Menteri pada 6 Oktober lalu berhubung keputusan kerajaan untuk menutup sekolah di kawasan-kawasan yang disahkan zon merah oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Ini melibatkan sebanyak 298 buah sekolah di seluruh daerah Petaling. Bilangan ini merangkumi sekolah rendah dan menengah di bawah KPM serta sekolah swasta yang berdaftar dengan KPM,” katanya.

Sehubungan itu, ibu bapa, penjaga dan warga sekolah boleh menyemak kemas kini senarai sekolah yang terlibat dengan penutupan itu di portal KPM di www.moe.gov.my serta di platform media sosial rasmi KPM.

Langkah penutupan juga melibatkan sekolah yang mempunyai asrama termasuk Kolej Vokasional.

“Dalam tempoh penutupan sekolah ini, pengetua dan guru besar akan memastikan guru-guru serta murid melaksanakan pengajaran dan pembelajaran di rumah mengikut kesesuaian guru dan murid.

“Manual pengajaran dan pembelajaran di rumah boleh dimuat turun di portal rasmi KPM www.moe.gov.my,” kata kenyataan itu lagi.