#2kerja langkah proaktif atau langkah tidak bertanggungjawab

#2kerja langkah proaktif atau langkah tidak bertanggungjawab

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Kenyataan Datuk Ahmad Maslan yang disiarkan oleh Astro Awani pada 26 Disember lalu yang menyatakan kerajaan menggalakkan pekerja melakukan dua kerja dengan merujuk kepada realiti kehidupan hari ini yang memerlukan pekerja menjana lebih pendapatan untuk menampung kos yang semakin meningkat dilihat satu langkah positif dipihak kerajaan kerana memahami situasi sebenar.

“Terima kasih” diucapkan kepada Dato’ Ahmad Maslan yang cukup memahami masalah pekerja. Satu langkah pro-aktif salah seorang anggota kabinet kerajaan Malaysia.

Namun persoalan utama yang perlu dijawab ialah sama ada dengan melakukan dua kerja ia boleh mengurangkan bebanan pekerja dalam menghadapi tekanan kenaikan kos yang dirasai setiap tahun. Adalah langkah membenarkan pekerja melakukan dua pekerjaan akan meningkatkan pendapatan dan produktiviti keluarga?

Menurut Ahmad Maslan, pekerja boleh berniaga sambil melakukan tugas harian. Adakah cadangan ini munasabah dan boleh diterima oleh majikan? Tidakkah nanti ia akan mengganggu tugas utama yang diberikan kepada pekerja? Saya tertanya-tanya di mana rasionalnya cadangan beliau. Selain akan menganggu tumpuan kepada tugas utama, tugas sampingan pula mungkin tidak dapat dilakukan dengan sempurna.

Andainya pekerja memilih untuk melakukan dua pekerjaan berasingan, satu selepas waktu pejabat, berapakah masa yang tinggal untuk keluarga mereka? Tidakkah Ahmad Maslan memikirkan kesan dua kerja kepada produktiviti organisasi dan kesan social kepada masyarakat?

Tindakan Ahmad Maslan sebagai jurucakap, jelas menunjukkan bahawa kerajaan langsung tidak mahu memgambil tanggungjawab untuk meringankan bebanan pekerja yang terus dihimpit kos yang tinggi. Sedangkan kerajaan memiliki semua mekanisma untuk melakukannya.

Setelah dikejutkan dengan cadangan melakukan dua kerja, kakitangan sektor awam dikejutkan pula dengan pengumuman kerajaan untuk menghentikan skim pinjaman perumahan kerajaan mulai 31 Disember ini. Bermula 1 Januari 2016 Bahagian Pinjaman Perumahan (BPP) akan dikenali sebagai Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA). Selepas ini tiada jaminan syarat akan dikekalkan, begitu juga kadar faedah (konvensional) atau kadar keuntungan (Islamik) akan dikekalkan (walaupun setakat ini ia dikekalkan).

Penubuhan LPPSA ini dijangka akan menambah beban kerajaan kerana selepas ini kerajaan perlu menangung elaun bulanan Ahli Lembaga kerana Sekeyen 10 Akta LPPSA menyebut dengan jelas mengenai elaun, yang tiada wujud sebelum ini, kecuali kerajaan dapat membuktikan perbelanjaan LPPSA tidak akan menambah perbelanjaan kerajaan. Sudah tentu perbelanjaan tambahan ini akan ditanggung oleh LPPSA yang kemudiannya menjadi sebahagian kos yang perlu ditanggung oleh kakitangan kerajaan yang menggunakan perkhidmatan LPPSA. Tindakan sebegini sudah tentu akan menambah beban pekerja yang sememangnya telah meningkat secara mendadak berbanding pertambahan pendapatan seperti di jadual berikut.

Jadual APendapatan di Jadual A  adalah pendapatan kasar penengah yang sudah tentu belum mengambil kira perbelanjaan cukai pendapatan, potongan KWSP dan lain-lain potongan. Berapakah yang tinggal sebagai pendapatan boleh guna keluarga? Jika dikira pendapatan perbandaran hanya berbaki RM1,235 setiap bulan, berapakah yang boleh disimpan untuk saat kecemasan dan lain-lain perbelanjaan luar jangka?

Apakah kerajaan sedar kesan sampingan dua kerja terhadap kehidupan sosial pekerja dan keluarga mereka kelak? Selain mengurangkan masa bersama keluarga yang sekarang ini sudah tentunya amat terbatas dimana pekerja di kawasan perbandaran perlu keluar awal dan balik lewat untuk mengelakkan kesesakan di jalanraya, ia juga akan memberi kesan kesihatan kepada fizikal pekerja yang akhirnya akan menambah perbelanjaan kesihatan pekerja. Ini belum mengambil kira kesan terhadap kehidupan anak-anak dan pendidikan anak-anak.

Anak yang tidak terjaga kerana ibu-bapanya terpaksa mengerah keringat mencari sesuap nasi akhirnya akan menimbulkan masalah social dalam masyarakat yang akhirnya akan menambah parahkan lagi masalah sosial yang sudah parah sekarang ini.

Apakah cadangan Ahmad Maslan ini akan menghasilkan gaya hidup yang lebih sihat kepada rakyat negara ini? Apakah cadangannya rasional? Saya amat berharap Dato’ Ahmad Maslan dan kerajaan supaya lebih bertanggungjawab.

* Dr. Mohd Fuad Mohd Salleh adalah Pengerusi Lajnah Pekerja PAS Pusat

CATEGORIES