Malaysia Dateline

3 Adun fail permohonan mahkamah, semak isytihar darurat gantung kuasa Dun

Tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) telah memfailkan permohonan kepada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi menyemak deklarasi darurat yang menggantung persidangan Dun.

Datuk Seri Salahuddin Ayub (Adun Simpang Jeram, Johor), Datuk Johari Abdul (Adun Gurun, Kedah) dan Dr Abdul Aziz Bari (Adun Tebing Tinggi, Perak) telah memfailkan permohonan itu hari ini.

“Kami telah memfailkan satu permohonan untuk kebenaran bagi memulakan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada hari ini berkaitan nasihat Perdana Menteri, Tan Sri Mahyuddin Yassin untuk suatu deklarasi darurat oleh KDYMM SPB Yang Di Pertuan Agong yang seterusnya menggantung persidangan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri bagi kesemua negeri,” kata ketiga-tiga mereka dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut mereka, permohonan ini adalah bagi membolehkan Klausa 11, 14 & 15 Ordinan Darurat yang dikatakan tidak berperlembagaan disemak oleh Mahkamah.

Permohonan ini juga adalah bagi membolehkan kuasa-kuasa oleh Perdana Menteri dan Kabinet serta Menteri Besar/Ketua Menteri dan Exco Negeri yang dikatakan tidak dapat dipertanggungjawabkan kepada Parlimen/DUN disemak oleh Mahkamah.

Permohonan ini dibuat melalui Chooi & Company + Cheang & Ariff (CCA LAW).

Turut menjadi sebahagian daripada pasukan guaman adalah Datuk Gurdial Singh Nijar dan Tuan Razlan Hadri.