Malaysia Dateline

3 Adun Pas batal menghadap Sultan Perak walaupun dipanggil

Tiga Adun Pas Perak membatalkan cadangan mereka untuk menghadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah, di Istana Kinta, Ipoh walaupun pada awalnya mereka bercadang berbuat demikian jam 3 petang tadi.

Menurut Malaysiakini, Pesuruhjaya Pas Perak Razman Zakaria mengakui mereka tidak akan mengadap sultan pada waktu yang ditetapkan.

“Ya (batal),” katanya semasa diminta mengesahkan perkara itu kepada laman web itu.

Bernama pula melaporkan, Razman berkata majlis menghadap Sultan Perak pada petang ini dibatalkan “atas arahan pucuk pimpinan.”

Menurut Adun Gunung Semanggol itu lagi Pas tidak mengadap Sultan Nazrin kerana mereka belum ada sebarang keputusan untuk dipersembahkan.

“Nanti macam kita jumpa tuanku main-main pula (kalau tidak ada keputusan),” katanya sebagaimana dilaporkan Malaysiakini.

Bagaimanapun Razman berkata Pas akan mengadap Sultan Nazrin juga kemudian namun belum ada tarikh ditetapkan.

“Secepat mungkin jugalah kalau ada keputusan. Itu pun bergantung kepada pusat punya keputusan,” katanya sebagaimana dilaporkan oleh portal berita itu.

Pas mempunyai tiga Adun dalam DUN Perak. Selain Razman, dua yang lain ialah Mohd Akmal Kamarudin (Selama) dan Khalil Yahaya (Kubu Gajah).