Ketua pembangkang Perak melihat kenyataan dikeluarkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kinta, Muhamad Arafat Varisai Mahamad sebagai satu provokasi politik murahan.
Ia adalah berdasarkan kenyataan dikeluarkan Muhamad Arafat yang memaklumkan tiga ADUN telah bertemu dengannya namun tidak mendedahkan nama mereka.
Memetik MalaysiaKini, hasrat tiga ADUN tersebut bertemu Arafat adalah membantu rakyat dan mengukuhkan lagi kedudukan kerajaan perpaduan di negeri Perak dengan menyokong kepimpinan.
Tambah Naib Pengerusi PKR Perak itu, ketiga-tiga mereka dari Perikatan Nasional tidak akan meninggalkan parti masing-masing.
“Mereka duduk dalam parti mereka, tidak menyeberang (duduk bersama blok parti pemerintah di Dewan Undangan Negeri).
“Tetapi lebih kepada menyokong kepimpinan Menteri Besar Perak (Saarani Mohamad),” katanya seperti dipetik MalaysiaKini.
Menurutnya, ketiga-tiga ADUN ini yakin dengan kepimpinan menteri besar dan Perdana Menteri Anwar Ibrahim di peringkat negeri dan persekutuan.
Ketua Pembangkang Perak, Razman Zakaria menjelaskan PN tidak memiliki sebarang maklumat mengenai perkara ini.
“Kalau ada pun daripada pembangkang yang hendak menyokong kerajaan, ia tidak memberi apa-apa perubahan.
“Kita tidak melayan provokasi politik murahan macam ini, tidak ada kepentingan untuk negara.
“Sekarang terpulang kepada individu yang dilantik oleh rakyat itu (sebab) kalau bila ada antara mereka melompat (parti) maka mungkin masa depan mereka umpama membakar jambatan sendiri.
“Kalau ada yang hendak melompat maka itulah takat (riwayat) politik mereka,” katanya dalam sidang akhbar berasingan.
Baca juga: Hati-hati tebus eMADANI, kerajaan akan sekat akaun jika anda lakukan perkara ini