Malaysia Dateline

3 anggota polis antara 8 ditahan bersama air ketum dan ubat batuk

Tiga anggota polis antara lapan individu ditahan di sebuah pondok membaiki kasut kerana disyaki terbabit dalam penyalahgunaan ubat batuk dan air ketum di Taman Desa Petaling di sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Cheras, ACP Mohamed Mokhsen Mohamed Zon berkata, dalam serbuan jam 9.30 malam itu, polis menahan tiga anggota dari Balai Polis Salak Selatan, empat lelaki dan seorang wanita dengan kesemua suspek berusia antara 24 hingga 54 tahun.

“Ketika ditahan, kesemua mereka sedang duduk di dalam pondok berkenaan dan hasil pemeriksaan telah menemui sebuah tong ais berisi 26 botol bersaiz 1.5 mililiter (ml) cecair disyaki air ketum serta kotak berisi 51 botol ubat batuk jenis Cynadryl Syrup,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata jumlah rampasan bernilai RM1,200.

Mohamed Mokhsen berkata semua suspek dibawa ke lokap Balai Polis Cheras dan lima orang awam direman selama tiga hari manakala tiga anggota polis itu direman sehari bermula hari ini bagi membantu siasatan.

Kes disiasat dibawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 30(3) Akta Racun 1952, katanya.

— BERNAMA