3 anggota polis antara 8 ditahan lindungi pendatang haram

3 anggota polis antara 8 ditahan lindungi pendatang haram

Tiga anggota polis antara lapan orang yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki terlibat menerima rasuah bagi melindungi pendatang asing tanpa izin dalam beberapa operasi di Sarawak dan Johor.

Sumber memberitahu bahawa SPRM menahan seorang pegawai polis berpangkat Asisten Superintendan Polis (ASP), seorang anggota polis berpangkat Koperal dan lima pengusaha syarikat dalam beberapa operasi di Sibu, Miri dan Kuching di Sarawak dari 11 pagi hingga 2.45 petang tadi.

“Pengusaha-pengusaha ini dipercayai telah merasuah pegawai penguat kuasa untuk melindungi pekerja warga asing mereka yang tidak mempunyai dokumen perjalanan dan permit kerja yang sah.

“Mereka cuba merasuah pegawai polis, Imigresen dan penguat kuasa dari jabatan lain jika syarikat atau kilang mereka diserbu,” kata sumber itu kepada Bernama hari ini.

Beliau berkata pegawai dan anggota polis yang ditahan itu dipercayai menerima wang rasuah daripada pengusaha syarikat berkenaan supaya tidak mengambil tindakan terhadap warga-warga asing berkenaan.

Dalam operasi sama di Johor, seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal ditahan kerana disyaki menerima rasuah bagi melindungi pekerja asing yang tidak mempunyai permit kerja sah di kilang kayu sekitar daerah Kluang.

Sumber itu berkata semua pegawai polis yang ditahan di Sarawak dan Johor akan disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 manakala suspek lain akan di siasat mengikut Seksyen 17(b) akta sama.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh dihukum penjara tidak lebih 20 tahun serta denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana lebih tinggi, katanya.

Pengarah Siasatan SPRM Datuk Simi Abd Ghani ketika dihubungi Bernama hari ini mengesahkan penangkapan itu.

Beliau berkata operasi itu merupakan tangkapan fasa kedua selepas operasi fasa pertama dilancarkan pada 23 Feb lepas di mana seramai 10 warga asing dan seorang warga tempatan ditahan SPRM.

“Seorang warga asing dan warga tempatan telah dituduh di Mahkamah Sesyen Sarawak hari ini kerana kesalahan menawarkan suapan berjumlah RM500 kepada seorang pegawai Imigresen,” katanya.

Simi menegaskan tindakan sewajarnya akan diambil bagi mengheret mana-mana pegawai dan anggota penguat kuasa yang bersubahat ke muka pengadilan.

“Kemasukan pekerja asing secara haram itu bukan sahaja boleh menggugat ketenteraman awam dan keselamatan negara, malah turut menyumbang kepada peningkatan kadar jenayah di negeri ini,” katanya.

TAGS