3 bulan akaun bank dibeku SPRM, 100 pekerja Aman Palestin terpaksa cuti tanpa gaji

Oleh MAISARAH AISYA

Isu penyelewengan dana Aman Palestin Berhad dilihat memberi kesan kepada pekerja di sana apabila 100 daripada 150 staf terpaksa bercuti tanpa gaji.

Malah sudah tiga bulan akaun syarikat itu dibekukan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),

Kini pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kemanusiaan itu dikatakan akan beroperasi pada skala lebih kecil lapor Berita Harian.

Pada masa sama pembekuan akaun yang sudah beroperasi sejak 2004 itu turut mengecil cawangan apabila hanya tujuh beroperasi berbanding 20 sebelum ini.

Pengurus Jabatan Media dan Dokumentasi Aman Palestin, Ismail Muhammad Jufri memaklumkan perkara tersebut berkuat kuasa 1 Februari lalu.

100 pekerja cuti tanpa gaji

Menurutnya, hampir 100 daripada 150 petugas Aman Palestin diminta bercuti tanpa gaji sehingga dimaklumkan kelak.

Pada masa sama beliau tidak menolak kemungkinan pengecilan operasi kali kedua, sekiranya akaun milik Aman Palestin terus dibekukan tanpa had masa yang jelas.

“Aman Palestin ketika ini, tidak dihalang untuk beroperasi, namun kos operasi sepenuhnya bergantung kepada dana sampingan yang sangat terhad.

“Setakat ini, kita masih terima sumbangan daripada pihak tertentu yang menyalurkan secara terus ke pejabat kami dari semasa ke semasa.

“Petugas kekal perlu melaksanakan bidang tugas berganda bagi menampung kekurangan tenaga kerja,” katanya seperti dipetik Berita Harian.

Media melaprkan, SPRM menerusi kenyataan pada 22 November lalu memaklumkan, 41 akaun Aman Palestin dan beberapa entiti syarikat lain yang berkaitan dibekukan.

Ia membabitkan jumlah keseluruhan RM15,868,762.

Baca juga: Masih ada tertipu dengan ‘phone scam’! Peniaga putih mata hilang hampir RM700k