Malaysia Dateline

3 bulan selepas banjir kepala air, penduduk Yan tagih janji PM

Setelah tragedi ‘kepala air’ di Yan, Kedah berlalu lebih tiga bulan penduduk terlibat menanti berita dan tindakan pihak berwajib setelah pengumuman dibuat oleh Perdana Menteri (PM), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semasa melawat kawasan tragedi di Yan dan Merbok tempoh hari bahawa bantuan segera akan disalurkan.

Lebih meresahkan apabila penduduk hanya menerima bantuan sebanyak RM500 pada bulan Oktober sedangkan yang diperlukan segera ialah pembinaan jambatan utama menghubungkan laluan kampung yang terputus semasa banjir kilat tersebut.

Kesan daripada bencana kepala air yang melanda Yan baru-baru ini

“” Sehingga kini tiada kerja-kerja pembinaan semula dilakukan, malahan ia mengundang resah penduduk bagi menggunakan laluan utama untuk ke Pekan Yan.

“Atas desakan penduduk terlibat, Pemuda AMANAH Negeri Kedah dengan kerjasama Pemuda AMANAH kawasan Jerai turun padang mendengar keluhan penduduk di Kampung Setoi, Yan bersama dengan Naib Presiden, Datuk Mahfuz Omar.

” Tinjauan yang dibuat mendapati banyak kawasan yang terlibat masih belum dibaik pulih dengan sempurna infrastrukturnya sehingga memberi kesulitan besar kepada penduduk di beberapa buah kampung terlibat untuk meneruskan rutin hidup seperti biasa,” ujar Ketua Pemuda AMANAH Negeri Kedah, Mohd Ridzwan Arshad Ahmad ketika dihubungi.

Sejajar dengan itu kata beliau, segala info dan maklumat disalurkan kepada Naib Presiden yang turut turun padang bagi mengetahui dengan lebih dekat punca dan masalah yang dihadapi sehinggakan infrastruktur khususnya pembinaan jambatan tersebut belum dapat disiapkan hingga kini.