3 juta penduduk dapat manfaat naik taraf koperasi menerusi Program BA100, kata Angkasa

3 juta penduduk dapat manfaat  naik taraf koperasi menerusi Program BA100, kata Angkasa

Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia (Angkasa) menjangkakan peningkatan taraf 3,000 koperasi mikro kepada koperasi sederhana mulai awal tahun ini di bawah Program Barang Asas 100 (BA100) yang memberi manfaat kepada tiga juta penduduk khususnya ahli koperasi dan golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40) di negara ini.

Presidennya, Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata pihaknya sedang giat menaik taraf  kedai koperasi mikro itu kepada segmen peruncitan dan pemborongan untuk menawarkan harga yang lebih berpatutan kepada pengguna.

“Kita menyasarkan 3,000 kedai koperasi ini akan menawarkan barangan di bawah BA100 dengan harga kompetitif, murah lima peratus daripada harga pasaran biasa,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Taklimat dan Pelancaran Peluang Peniagaan Co-Op Station, pada Rabu.

Beliau berkata nilai industri pemborongan dan peruncitan negara adalah amat besar dengan angkanya mencecah lebih RM100 bilion pada tahun lepas, namun penyertaan koperasi masih kecil jika dibandingkan dengan potensi sedia ada.

Menurutnya, usaha menaik taraf koperasi itu sedang dijalankan secara berperingkat, sekali gus menambah nilai jualan barangan runcit dengan pembelian yang menjimatkan menerusi e-jimat.

Abdul Fattah berkata usaha itu adalah bagi memperbaiki serta mengubah struktur pemasaran barangan runcit yang melibatkan ramai orang tengah sehinggakan harga barangan runcit menjadi terlalu tinggi kerana wujud jurang di antara pembekal, pengeluar dan pengguna.

“Penggunaan sistem e-dagang digital dapat mengurangkan peranan orang tengah dan kedai runcit akan membuat tempahan secara berkumpulan dengan Angkasa,” katanya.

Beliau berkata setakat ini, sebanyak 10 syarikat pembekal barangan utama telah berdaftar dengan Angkasa untuk menawarkan perkhidmatan kepada kedai-kedai koperasi.

“Kami mengalu-alukan syarikat pembekal barangan untuk memberikan perkhidmatan mereka kepada kedai koperasi dengan syarat mereka harus menghantar barangan itu dari kilang ke kedai tanpa orang tengah bagi memastikan harga barangan itu kekal rendah,” katanya.– BERNAMA