Malaysia Dateline

3 kematian dicatatkan setakat semalam, membabitkan keracunan Metanol di Perak

Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini, memaklumkan tiga kematian telah dilaporkan setakat semalam, melibatkan kejadian keracunan Metanol di Perak.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, kematian itu melibatkan dua warganegara asing dan seorang rakyat Malaysia.

Beliau berkata, kes berkenaan juga membabitkan daerah Kinta iaitu sebanyak 5 kes, Perak Tengah (2 kes), Kuala Kangsar (2 kes) Larut Matang dan Selama (1 kes).

“Tujuh pesakit masih dirawat di hospital, tiga daripadanya adalah kritikal, manakala empat lagi pesakit dirawat di wad biasa.

“Pihak saya telah menerima 10 notifikasi berhubung kejadian itu yang membabitkan enam warga tempatan dan empat warganegara asing,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media, selepas menghadiri Majlis Perjumpaan Bulanan bersama kakitangan kementeriannya, di Putrajaya, hari ini.

Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad  beramah mesra dengan kakitangan KKM pada perhimpunan bulanan di kementerian itu hari ini.

Perjumpaan bulanan bertemakan ‘Pekerja Amanah, Aspirasi Negara’ itu dihadiri kira-kira 600 kakitangan KKM yang turut diserikan dengan kehadiran Ketua Setiausaha KKM, Datuk Seri Dr Chen Chaw Min dan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Dalam perkembangan sama, Dzulkefly turut memaklumkan, lima ujian darah dan urin telah dijalankan dan hasilnya mendapati empat kes terdapat kesan metanol dan satu kes tiada metanol.

“Satu kes yang tiada metanol itu melibatkan pesakit yang telah meninggal dunia, walau bagaimanapun keputusan post mortem belum diperolehi.

“Berhubung kes itu, sembilan premis telah diperiksa, iaitu dua di daerah Kinta dan tujuh lagi di daerah Muallim,” katanya.

Pada 1 Mei lalu, dua lelaki masing-masing warga Bangladesh dan Myanmar meninggal dunia di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di Ipoh, disyaki mengalami keracunan metanol.

Menurut Pengarah Kesihatan Perak, Dr Ding Lay Ming, kedua-dua mangsa dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi HRPB pada 28 April lalu setelah mengalami gejala kabur penglihatan, loya, muntah, sakit perut dan kurang sedar selepas minum minuman beralkohol.