Malaysia Dateline

3 maut kren tumbang di pembinaan SUKE Alam Damai

Awal Mac lalu dua pekerja kilang wanita maut apabila van dinaiki mereka dihempap perancah besi pembinaan Lebuhraya Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) hari ini pula tiga lelaki warga China maut manakala seorang rakyat tempatan cedera parah selepas komponen kren terjatuh di Jalan Alam Damai, Kuala Lumpur.

Pemaju SUKE mengesahkan kejadian kemalangan tersebut yang berlaku awal pagi tadi.

“Melalui siasatan awal, tiga pekerja pembinaan warga negara China meninggal dunia manakala seorang pengguna jalan raya warga tempatan cedera di dalam kejadian ini,” lapor Astro Awani.

Menurut Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada jam 8.45 pagi.

Seramai 25 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Cheras, BBP Tun Razak dan BBP Hang Tuah digerakkan ke lokasi kejadian.

Dilaporkan, kejadian melibatkan struktur besi crane launcher pembinaan lebuh raya telah jatuh dan menghempap sebuah kereta jenis Perodua Bezza.

Antara mangsa terlibat merupakan pemandu kereta Bezza tersebut susulan kenderaannya dihempap besi kren berkenaan dan mengalami kecederaan parah.

Manakala tiga orang mangsa lagi merupakan pekerja projek pembinaan tersebut.

“Dipercayai dua mangsa telah jatuh setinggi 120 kaki dan telah disahkan meninggal dunia.

“Seorang lagi mangsa masih tersangkut di landasan pembinaan lebuh raya dan kerja-kerja menyelamat mangsa sedang dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan, pada Isnin.

Ketika ini operasi menyelamat masih sedang dijalankan.

3 Mac lalu, dua pekerja kilang wanita maut apabila van dinaiki mereka dihempap perancah besi pembinaan Lebuhraya Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) di Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2).

Kejadian runtuhan di projek pembinaan SUKE melibatkan sebuah lori trailer yang membawa lebih muatan melanggar perancah besi pembinaan.

Projek Lintasan Sungai Besi-Ulu Klang Sdn Bhd (Prolintas) menerusi kenyataan memaklumkan, lori trailer tersebut tidak terlibat dalam pembinaan Lebuhraya SUKE.