Malaysia Dateline

3 minggu lagi boleh rentas negeri

Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik COVID-19 hari ini bersetuju memberi kebenaran rentas negeri dan pembukaan semula pusat pelancongan apabila kadar vaksinasi negara mencapai 90% populasi dewasa.

Perdana Menteri Datuk Ismail Sabri percaya ramai dalam kalangan rakyat sudah tidak sabar untuk pulang ke kampung berjumpa dengan keluarga setelah sekian lama.

“InsyaAllah, sasaran 90% ini dijangka dapat dicapai dalam masa 2-3 minggu sahaja lagi,” katanya dalam kenyataan.

Hari ini, tiga negeri iaitu Johor, Pahang dan Negeri Sembilan juga telah diberi kebenaran untuk beralih ke fasa seterusnya.

Selain itu, bermula esok, operasi premis perniagaan seperti kedai runcit, restoran, stesen minyak dan kedai serbaneka dipanjangkan bermula dari jam 6 pagi hingga 12 malam.

“Kelonggaran yang kita kecapi hari ini adalah hasil pengorbanan kita bersama.

“Saya yakin, dengan adanya kelonggaran-kelonggaran ini, kita dapat mengembalikan kecemerlangan ekonomi negara tidak lama lagi.

“Namun, dalam usaha ini, kita juga hendaklah sentiasa peka dan saling menjaga keselamatan diri dan Keluarga Malaysia,” katanya.

Terdahulu, beliau mengumumkan 80 peratus populasi dewasa di negara ini telah lengkap divaksinasi di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).