3 pemimpin AMANAH angkat sumpah Exco Perak

Hasnul, Ketua Pemuda AMANAH Perak angkat sumpah exco.

Tiga pemimpin AMANAH Perak mengangkat sumpah sebagai Exco Kerajaan Negeri Perak di hadapan Sultan Perak bersama rakan-rakannya yang lain petang semalam.

Pengerusi AMANAH Perak, Asmuni Awi (Manjoi), timbalannya Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaludin (Sungai Rapat) dan ketua Pemuda Perak, Hasnul Zulkarnain (Titi Serong) dipilih sebagai exco kerajaan Pakatan Harapan Perak.

Istiadat pelantikan dan mengangkat sumpah jawatan berlangsung di depan Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah di Istana Iskandariah di sini.

Lima daripada exco yang dilantik itu dari DAP, iaitu Adun Sungkai, A Sivanesan; Wong May Ing (Pantai Remis); Yong Choo Kiong (Tronoh); Dr Abdul Aziz Bari (Tebing Tinggi) dan Lee Chuan How (Pasir Pinji).

Dua lagi exco adalah dari PKR iaitu Tan Kar Hing (Simpang Pulai) dan Abdul Yunus Jamhari (Kuala Kurau).

Bagaimanapun, portfolio semua exco akan dimaklumkan kemudian.

Pada pilihan raya umum 9 Mei lepas, Pakatan Harapan (PH) memenangi 29 kerusi DUN, namun berjaya membentuk kerajaan negeri selepas mendapat majoriti mudah 31 kerusi apabila 2 adun Barisan Nasional (BN) menyokong PH.

Menteri Besar, Ahmad Faizal Azumu yang merupakan adun Chenderiang mengangkat sumpah jawatan sebagai menteri besar Perak ke-12 pada 12 Mei lepas.

Pada pilihan raya umum ke-14, Faizal yang bertanding atas tiket PPBM menewaskan calon BN, Chong Shin Heng dan Nordin Hassan daripada PAS dengan majoriti 39 undi.

0.0
OVERALL SCORE
Have no any user vote