3 pemimpin Pas Terengganu nafi terima duit Umno, serah kepada peguam

3 pemimpin Pas Terenganu yang didakwa terima duit Umno membuat sidang media menafikannya.

Tiga pemimpin Pas Terengganu menyerahkan kes dakwaan mereka menerima duit dari Umno kepada peguam untuk dikaji namun tidak ada jaminan akan mengambil sebarang tindakan undang-undang.

Satiful Bahri Mamat, Muhyiddin Abdul Rashid dan Shukrimun Shamsudin dalam satu sidang media mereka menafikan menerima duit dari Umno itu.

“Pas negeri Terengganu menafikan sekeras-kerasnya menerima wang dari pihak Umno.

“Ia tuduhan fitnah dan palsu,” katanya.

Beliau telah berbincang dengan peguam dan diserahkan kepada beliau untuk diambil tindakan.

Satiful yang menjadi jurucakap mereka juga meminta Datuk Mahfuz Omar yang membuat dakwaan itu agar membuat laporan polis dan juga SPRM.

Peguam mereka, Mohd Zabidi Yusof yang turut serta dalam sidang media itu berkata, pihaknya akan mengkaji isu ini namun tidak memberikan jaminan apakah tindakan undang-undang akan diambil.

“Pada peringkat ini bagi saya bebanan pembuktian terletak kepada Mahfuz. Dialah yang kena buktikan.

“Setiap orang tidak boleh dikatakan bersalah sehinggalah dibuktikan bersalah.

“Kita akan ambil masa dan tindakan sewajar.

“Buat masa sekarang fokus pilihan raya dan tidak akan buang masa nak layan isu yang remeh temeh, menyusahkan dan membuang masa ini,” kata Zabidi, Pengerusi Lajnah Undang-undang dan Hak Asasi Manusia Pas Terengganu itu.

Mahfuz sebelum ini mendakwa tiga pemimpin berkenaan mempunyai satu akaun bersama dan menerima RM1 juta duit dari Umno.