Malaysia Dateline

3 penjajaran KPM perlu laksanakan bagi sesi persekolahan penggal kedua

28 Mei 2021, tamatlah sudah sesi persekolahan murid di Malaysia bagi penggal yang pertama. Penggal pertama sesi persekolahan ini dilaksanakan awalnya secara PdPR (pertengahan Januari hingga Mac), pertengahannya secara bersemuka (Mac hingga pertengahan Mei) dan berakhir dengan PdPR semula (hujung Mei). Penggal pertama ini menyaksikan keserabutan dalam pelaksanaan sesi persekolahan dimana KPM tidak mempunyai perancangan kecemasan atau kontigensi plan apabila kes Covid-19 naik semula.

Berdasarkan pengumuman KPM, sekolah akan ditutup sehingga cuti penggal pertama tamat. Ini bermaksud sekolah akan dibuka kurang lagi dari tiga minggu sahaja lagi. Namun, dengan kadar kes terkini yang sentiasa melebihi 5000 kes sehari menampakkan kemustahilan yang kes akan turun kepada bawah 1000 kes sehari.

Jadi adakah dengan kadar kes yang kekal melebihi 4 angka, sekolah juga tidak akan beroperasi sehinggalah keadaan pulih atau mencapai 3 angka? Harus diingat bahawa penutupan sekolah dalam tempoh yang lama dan pelaksanaan PdPR tanpa ada pengukuhan yang tepat akan memberikan kesan buruk khususnya pada murid sekolah.

Berdasarkan Kajian Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) dan Tabung Kependudukan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFPA) mendedahkan 1 daripada 5 murid hilang minat untuk ke sekolah selepas PKP 1.0 dilaksanakan. Manakala hampir 76 % dari keseluruhan respondan kajian tidak mahu anak-anak mereka belajar dalam talian.

Daripada hasil kajian ini, jelaslah bahawa jika sekolah ditutup lebih lama, lebih ramai murid akan hilang minat kepada pelajaran. Ia juga membuktikan bahawa PdPR tidak memberi kesan yang maksima kepada murid sekolah seperti luahan ibubapa mereka.

Maka saya melihat ada beberapa langkah yang boleh diambil oleh KPM untuk dilaksanakan sempena pembukaan sekolah penggal kedua ini. 3 penjajaran boleh dilakukan semasa sesi persekolahan dibuka nanti dengan tumpuan diberikan khusus diperingkat sekolah. Antaranya ialah:

Penjajaran fizikal

Penumpuan diberikan kepada mengatur semula masa, kedudukan kelas dan aturan keluar masuk murid di sekolah.

Cadangannya ialah masa datang dan balik ke sekolah perlu diubah bagi mengelakkan pertembungan antara murid sesi pagi dan petang. Misalnya, murid pagi akan hadir jam 7.50 pagi dan pulang jam 12 tengahari. Manakala murid sesi petang akan hadir jam 2 petang dan pulang 6.15 petang. Ada tempoh 2 jam untuk digunakan bagi murid datang dan balik memandangkan waktu inilah menjadi waktu puncak antara murid sesi pagi dan petang.

Bagi kedudukan kelas pula, setiap kelas yang akan diadakan secara bersemuka dibahagikan kepada dua kumpulan dan dijadikan dua kelas. Ruang yang terhad dengan jumlah murid yang sedikit membolehkan penjarakan fizikal antara mereka dilaksanakan. Ada ketika kelas boleh diadakan di dewan besar dengan menghimpunkan 2 hingga 3 kelas dalam penjarakan fizikal seperti yang ditetapkan MKN kepada program kursus dan ceramah.

Penjajaran sesi persekolahan

Penjajaran ini memerlukan KPM, JPN, PPD dan Sekolah merombak semula jadual sesi persekolahan murid-murid. Jadual boleh disusun dengan cara setiap peringkat mahupun kelas akan hadir maksima 3 hari seminggu sahaja. Contohnya, murid tahun 6 dan 5 akan bersekolah pada hari Isnin, Rabu dan Jumaat sesi pagi, manakala sesi petangnya ialah tahun 1 dan 2 yang diatur dengan satu kelas dibahagikan kepada dua (Rujuk Penjajaran Fizikal). Hari selebihnya sekolah buat tahun 3 dan 4. Ini merupakan contoh penggiliran sesi persekolahan, namun ia perlu diberikan kuasa yang lebih kepada sekolah kerana sekolah lebih memahami keadaan sekolah masing-masing.

Penggiliran sesi persekolahan ini harus diberikan lebih keutamaan kepada peringkat yang mengambil peperiksaan awam seperti calon SPM dan Tingkatan 4. Selain itu, murid tahun 6 dan tingkatan 3 juga perlu lebih kerap hadir ke sekolah memandangkan banyak saringan yang perlu dilakukan untuk menempatkan haluan mereka ke peringkat seterusnya walaupun UPSR dan PT3 dibatalkan.

Dengan cara ini, semangat dan motivasi murid hadir sekolah dikekalkan dan terus meningkat hari demi hari sehingga kes berkurang.

Penjajaran kurikulum

Cadangan ketiga ini memerlukan pihak KPM khususnya Bahagian Pembangunan Kurikulum untuk menentukan mata pelajaran yang perlu diajar di sekolah dalam tempoh pandemik masih melanda negara. Mata pelajaran yang sebelum ini berjumlah 12 hingga 13 mata pelajaran perlu dikurangkan kepada 5 hingga 6 mata pelajaran sahaja. Ia sesuai untuk semua peringkat kecuali calon SPM. Dengan cadangan ini, jumlah hari yang sedikit hadir ke sekolah (Rujuk Penjajaran Sesi Persekolahan) membolehkan semua mata pelajaran diajar dalam seminggu. Selain itu, jumlah mata pelajaran yang sedikit akan menjadikan jumlah guru menjadi ramai dalam satu-satu mata pelajaran dan boleh ditempatkan di satu kelas yang dibahagikan kepada 2 kelas (Rujuk Penjajaran Fizikal).

Mata pelajaran yang dikekalkan mestilah mata pelajaran yang diperlukan untuk mengukur nilai prestasi murid ke peringkat seterusnya. Misalnya Bahasa Melayu, Matematik dan Sains. Manakala satu aspek lain ialah mata pelajaran yang dianggap penting untuk asas pembangunan diri harus dikekalkan. Contohnya Pendidikan Islam, Bahasa Inggeris dan Sejarah.

Akhirnya cadangan ketiga ini harus diringi dengan pengurangan jumlah masa dalam satu mata pelajaran (Rujuk Penjajaran Fizikal) dan merombak pedagogi yang sesuaian agar objektif pembelajaran dapat dicapai. Harus diingat, semasa pandemik, tumpuan itu kepada keberkesanan pendidikan secara minima walaupun tidak boleh dicapai sepenuhnya.

Peringatan kepada semua pembaca, cadangan ini boleh dilaksanakan jika trend kes Covid-19 menurun dan ia dilaksanakan dalam tempoh jangka masa panjang (2021 dan 2022) bukan dalam tempoh masa yang singkat. Namun, penulis menegaskan tumpuan yang lebih utama adalah memastikan semua guru di sekolah menerima vaksin sepenuhnya.

 

Penulis merupakan  AJK Biro Pendidikan Dan Perubahan Masyarakat AMANAH Nasional
Ketua Komunikasi AMANAH Gombak