3 sepupu lemas di Air Terjun Cakah

3 sepupu lemas di Air Terjun Cakah

Tiga sepupu lemas dan seorang lagi terselamat ketika mandi-manda di kawasan perkelahan Air Terjun Cakah, Ulu Seladang dekat sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 12.15 tengah hari itu, mangsa Asiyah Zakirah Ab. Rahman, 23, maut di tempat kejadian manakala sepupunya, Fatin Atirah Ahmad Sabri, 20, dan Asma’ Shaari, 21, meninggal dunia di Hospital Setiu masing-masing pada pukul 2.41 petang dan 4.49 petang.

Bagaimanapun, adik kepada Asma’ iaitu, Maisarah, 19, terselamat daripada diha­nyutkan arus deras selepas jeritan kesemua mereka didengari bapa dan emak saudara yang berada di daratan ketika kejadian.

Kesemua sepupu berkenaan berasal dari Machang, Kelantan dengan Fatin Atirah merupakan pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam manakala Asma’ pula adalah penuntut jurusan perubatan di Mesir.

Difahamkan rombongan tujuh sekeluarga itu tiba di kawasan perkelahan tersebut kira-kira pukul 9 pagi ini.

Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintenden Elias Abu Bakar berkata, kesemua mereka yang lemas diselamatkan dengan bantuan orang awam.

“Salah seorang meninggal dunia di tempat kejadian manakala mangsa lain dihantar ke Hospital Setiu.

“Pada pukul 5 petang tadi, polis menerima maklumat yang dua lagi mangsa telah meninggal dunia sewaktu menerima rawatan di wad kecemasan Hospital Setiu,” katanya dalam kenyataan dilapor Utusanonline hari ini.

Menurut Elias, mangsa keempat dilaporkan stabil dan masih menerima rawatan di Hospital Setiu.

Katanya, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Lata Cakah dikatakan tidak memiliki air terjun yang tinggi manakala sungainya dipenuhi batu-batu dan ruang mandi yang luas sesuai untuk orang dewasa dan kanak-kanak.

 

TAGS