30 dakwa jadi mangsa penipuan mata wang digital

30 dakwa jadi mangsa penipuan mata wang digital

Seramai 30 daripada kira-kira 300 mangsa warga tempatan membuat laporan polis berhubung satu pelaburan melibatkan mata wang digital (‘bitcoin’) yang dianggar membabitkan kerugian mencecah RM22 juta.

Seorang daripada mereka, Mohd Alif Basari, 27, mendakwa beliau melabur lebih RM60,000 sejak menyertainya pada April 2016 namun hanya mendapat pulangan kurang daripada RM2,000.

Bekas jururawat hospital swasta itu berkata beliau menyertai pelaburan ‘bitcoin’ itu selepas hadir ke satu taklimat di sebuah hotel di ibu negara mengenai pelaburan berkenaan yang dianjurkan seorang penerbit filem tempatan.

“Setiap bulan, kami dijanjikan akan mendapat dividen berdasarkan pembelian satu ‘bitcoin’ berharga RM1,800. Pada bulan pertama, saya mendapat pulangan kira-kira RM500 hingga RM600 yang dikeluarkan dalam bentuk wang tunai.

“Melihat kepada pulangan itu, saya mula melabur dengan membeli enam hingga 20 lagi bitcoin hingga Julai 2016. Namun selepas itu, sistem pelaburan itu mula goyang apabila proses pengeluaran dividen dalam bentuk wang tunai selalu tergendala menyebabkan saya curiga terhadap pelaburan berkenaan,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang, di sini, hari ini.

Beliau adalah salah seorang daripada 30 mangsa yang membuat laporan polis dan meminta agar siasatan dijalankan ke atas sebuah syarikat pelaburan agar orang lain tidak lagi menjadi mangsa.

Dalam pada itu, Pengerusi Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA) Siraj Jalil berkata sehingga kini, lebih daripada 300 individu tampil membuat aduan ke pihaknya berkenaan penipuan pelaburan mata wang digital itu.

Beliau berkata mangsa meminta bantuan MCCA untuk mengetengahkan isu berkaitan ‘bitcoin’ yang dilihat cenderung digunakan bagi tujuan pelaburan palsu.

Loading...

“Kesemua mangsa yang membuat aduan itu mengalami kerugian anggaran kira-kira RM10,000 hingga ke RM600,000 selepas menyertai sindiket berkenaan sejak 2015.

“Syarikat pelaburan itu memberitahu bahawa lebih 50,000 orang menyertai pelaburan berkenaan,” katanya.

Siraj berkata pihaknya berharap kerajaan memandang serius kes-kes penipuan yang berkaitan dengan pelaburan mata wang digital ini kerana ia membabitkan ramai mangsa dengan jumlah kerugian yang besar.

— BERNAMA