Malaysia Dateline

30 keluarga terima sumbangan daripada NGO di Kuching

Seramai 30 buah keluarga golongan kurang berkemampuan telah menerima sumbangan berupa pakaian terpakai dan bekalan makanan daripada Persatuan Peduli Rakyat Kuching (PEDULI) hari ini.

Pengerusi PEDULI, Hud Andri Zulkarnaen berkata, penerima terbabit ialah keluarga yang tinggal dalam kawasan kilang kayu di Demak Laut sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan 18 Mac lalu.

Katanya, ini merupakan sumbangan kedua yang dihantar kepada keluarga berkenaan memandangkan mereka tidak dapat balik ke kampung masing-masing untuk sambutan Hari Raya Aidilfitri dan Gawai nanti.

“Kebanyakan mereka adalah berasal dari luar Kuching dan merupakan antara pekerja yang terjejas sepanjang PKP lalu.

“Kawasan kilang yang jauh dari bandar Kuching turut menyukarkan mereka hendak keluar membeli makanan.

“Semoga sumbangan ini sedikit sebanyak dapat meringankan keluarga ini kerana saya diberitahu kilang di tempat mereka bekerja ini bakal beroperasi semula dalam masa terdekat ini,” ujar beliau ketika ditemui pada majlis penyerahan sumbangan hari ini.

Hud Andri yang juga merupakan Timbalan Pengerusi Parti AMANAH Negara Negeri Sarawak menambah, sumbangan pakaian terpakai itu mampu dimanfaatkan oleh seramai 120 orang daripada 30 keluarga tersebut termasuk anak-anak mereka.

“Terima kasih kepada penderma-penderma yang telah menyumbangkan pakaian untuk program ini, ” katanya.

Turut hadir pada majlis penyerahan itu ialah Naib Pengerusi 3 AMANAH Sarawak, Mohamad Fidzuan Zaidi.