Malaysia Dateline

30 pelajar Parlimen Batang Sadong terima bantuan persekolahan

Seramai 30 pelajar dari kalangan keluarga asnaf di Kampung Semera dalam Parlimen Batang Sadong telah menerima bantuan awal persekolahan semalam.

Bantuan tersebut adalah sumbangan daripada Persatuan Kebajikan Batang Sadong dan Pusat Khidmat Keadilan Batang Sadong.

Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Batang Sadong Piee Ling berkata, bantuan itu adalah inisiatif daripada beliau sendiri dan merupakan tahun ketiga program sedemikian diadakan.

Jelas beliau, ia adalah bertujuan meringankan beban kewangan keluarga yang kurang berkemampuan bagi persediaan membeli pakaian sekolah anak-anak mereka.

“Dengan bantuan ini, semoga ia dapat meringankan beban para ibu bapa bagi membeli barangan persekolahan anak-anak mereka.

“Malah saya berharap sumbangan ini bakal memberi motivasi kepada pelajar untuk memulakan sesi persekolahan tahun hadapan,” ujar beliau ketika ditemui di Pejabat Pusat Khidmat Keadilan di Batang Sadong,Kota Samarahan semalam.

Sehubungan itu, Piee turut berharap agar orang ramai yang berhajat untuk memberi sumbangan berupa beg, pakaian, kasut dan peralatan sekolah, boleh berjumpa dengan beliau atau datang ke Pejabat Pusat Keadilan Batang Sadong.

“Insya Allah…barangan yang anda sumbangkan itu akan kita sampaikan kepada mereka yang benar-benar amat memerlukannya,” tambahnya.