Malaysia Dateline

30 pelajar Simpang Renggam dapat perhatian AMANAH

Seramai 30 pelajar di kawasan Parlimen Simpang Renggam menerima bantuan persekolahan bagi meringankan beban ibu bapa menghadapi musim persekolahan baharu yang bermula 1 Januari 2018 yang lalu.

Aminolhuda Hassan
Aminolhuda Hassan

Pengerusi Parti Amanah Negara (AMANAH) Negeri Johor,  Aminolhuda Hassan berkata keseluruhan mereka yang menerima sumbangan adalah terdiri daripada keluarga yang berpendapatan rendah serta kurang berkemampuan.

Menurut beliau, selain itu sumbangan berbentuk wang saku turut diagihkan bagi menambahkan usaha pihak AMANAH dalam meringankan bebanan yang ditanggung oleh keluarga apabila tiba musim kembali ke sekolah ini.

“AMANAH berbesar hati dengan sambutan daripada ibu bapa yang hadir ke pasaraya ‘Big 10’ ini bagi menerima sumbangan kelengkapan persekolahan serta meraikan anak-anak yang memilih peralatan mereka.

“AMANAH memahami permasalahan yang dialami oleh ibu bapa hari ini yang terpaksa memikul bebanan yang besar dalam merealisasikan kelengkapan persekolahan terhadap anak-anak mereka dalam keadaan ekonomi yang mencabar pada hari ini,”  ujarnya ketika ditemui.

Aminolhuda yang merupakan persara guru itu menambah, keprihatinan pihak AMANAH dalam menyalurkan bantuan ini adalah program yang dijalankan setiap tahun ketika menjelangnya musim kembali ke sekolah ini dan ia bukan sesuatu yang baru.

“Terima kasih kepada pihak yang bersama seperti ahli AMANAH Kawasan Simpang Renggam yang menjalankan program ini setiap tahun serta mendapatkan maklumat dari mereka yang memerlukan,” katanya.