Malaysia Dateline

30 penjaja dicadangkan berpindah ke tapak baru di Lorong TAR 3 atau 5

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah mencadangkan 30 penjaja yang menjadi mangsa kebakaran di tapak perniagaan di Jalan Masjid India dipindahkan di tapak baru secepat mungkin.

Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Nor Hisham A Dahlan hari ini memberitahu tapak baharu di Lorong Tuanku Abdul Rahman 3 atau 5 itu tertakluk kepada persetujuan majoriti penjaja yang terlibat.

“Penjaja terlibat diminta berbincang dahulu dengan persatuan mereka berhubung cadangan tersebut.

“Jika mereka tidak bersetuju mereka diminta menyatakan cadangan kepada DBKL membuat penilaian tapak baru bagi mereka,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Keadaan tapak penjaja Jalan Masjid India yang hangus terbakar dalam kejadian awal pagi tadi.-Foto Syafiq Iskandar.

Bagaimanapun perpindahan ke tapak baharu itu hanya membabitkan penjaja warganegara sahaja yang akan dipertimbangkan oleh DBKL untuk pemindahan sementara ke tapak baharu itu kelak.

Menurutnya lagi penjaja yang terlibat juga tidak dibenarkan meneruskan perniagaan ditapak yang mengalami kebakaran sehingga siasatan oleh pihak Bomba selesai.

“Ini juga bagi membolehkan kerja-kerja baikpulih dapat dilakukan oleh DBKL,” ujarnya.

Sebanyak 30 peniaga berputih mata apabila gerai mereka musnah dalam kebakaran di hadapan Wisma Yakin, di Jalan Masjid India,Kuala Lumpur lewat tengah malam tadi.

Terdapat 143  gerai ditapak berkenaan yang mana 30 gerai hangus terbakar.

Baca: 30 gerai terbakar