30 tahun dibesarkan keluarga angkat miskin, lelaki baru tahu ibu bapa kandung sebenarnya hartawan

Oleh KIM SYAZIE

Pasangan suami isteri tidak percaya we apabila dikhabarkan anak mereka yang telah meninggal dunia 30 tahun lalu sejurus selepas dilahirkan, rupa-rupanya masih hidup dan sihat.

Menurut laporan Agensi, Zhang Huaiyuan, 33, dibesarkan di sebuah perkampungan luar bandar yang dilanda kemiskinan di Anhui.

Dia terkejut apabila mendapati dia hanyalah anak angkat dan ibu bapa kandungnya pula adalah usahawan kaya dari wilayah Zhejiang dekat tenggara China.

Doktor memberitahu ibu bapa kandung Zhang bahawa bayi mereka meninggal dunia kerana dilahirkan pramatang, tetapi sebenarnya diberikan kepada saudara pengarah hospital.

Zhang dibesarkan kira-kira 400 kilometer (km) dari wilayah Zhejiang tempat ibu bapa kandungnya tinggal.

Pasangan yang mengambilnya berusia lingkungan 50-an dan bapanya cacat, jadi Zhang menghadapi masalah kewangan hingga memaksanya berhenti sekolah pada usia 17 tahun.

Selepas kematian bapa angkatnya tahun lalu, ibunya (angkat) memberitahu Zhang bahawa bukan anak kandung mereka.

Selepas berpisah selama beberapa dekad, Zhang akhirnya bertemu ibu bapa kandungnya bulan lalu dengan bantuan polis.

Ketika perayaan besar yang diadakan di Zhejiang pada 20 Mei lalu, bapa kandung Zhang, Li Shijie, dengan sebak menghadiahkan anaknya kad bank mengandungi 1.2 juta yuan (kira-kira RM778,393).

Difahamkan, Zhang adalah anak kedua Li dan pasangannya.

“Anak pertama kami baru berusia setahun ketika hamil anak kedua. Sejak yang pertama dilahirkan melalui pembedahan yang belum sembuh sepenuhnya, jahitan isteri saya dibuka semula pada bulan keenam kehamilan,” kata Li.

Walaupun dibesarkan dalam kemiskinan, Zhang seolah-olah mewarisi bakat ibu bapa kandungnya dalam bidang perniagaan kerana memiliki sebuah kilang kecil.

Baru-baru ini, keluarga Li melawat rumah Zhang di Tianjin, timur China, dan bertemu dengan menantu serta cucu mereka yang berusia sembilan tahun.

“Anak saya yang malang hidup selama lebih 30 tahun tanpa mengetahui hari lahirnya sendiri. Tahun ini, keluarga kami akhirnya akan meraikannya bersama-sama,” kata Li.

Baca juga: Datang balai buat aduan isu judi, lelaki ditahan lepas nama sangkut dalam kes ‘scam’