Malaysia Dateline

30 unit gerai di Masjid India hangus terbakar

Dianggarkan lebih 30 peniaga berputih mata apabila gerai mereka musnah dalam kebakaran di hadapan Wisma Yakin, di Jalan Masjid India,Kuala Lumpur lewat tengah malam tadi.

Pusat Gerakan Operasi Kuala Lumpur dalam satu kenyataan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui talian MERS999 pada pukul 1.35 pagi.

“Sebanyak 48 anggota dari empat Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) yang terdiri daripada BBP Titiwangsa, Pudu, Sentul dan Hang Tuah dikejarkan ke tempat kejadian.

Menurut Komander Operasi Kanan, L. Logeswaran, sebaik sahaja tiba di lokasi kejadian pada pukul 1.44 pagi, terdapat kira-kira 30 unit gerai sudah terbakar sepenuhnya.

“Kebakaran dapat dikawal kira-kira 20 minit kemudian dan berjaya dipadam sepenuhnya pada pukul 2.04 pagi.

“Kerja-kerja pemadaman ‘overhaul’ sedang dijalankan dan unit Siasatan Kebakaran telah berada dilokasi kejadian untuk menyiasat kejadian tersebut,” ujarnya.

Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Titiwangsa, Penolong Penguasa Bomba Rahmat Kamaruzaman berkata, seramai 27 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Titiwangsa, BBP Jalan Hang Tuah, BBP Pudu, BBP Sentul dan Unit Forensik BBP Seri Rampai dikejar ke lokasi sebaik menerima panggilan kecemasan jam 1.38 pagi.

Katanya, jentera pertama sampai lapan minit kemudian mendapati api sedang marak membakar beberapa gerai di bahagian tengah bazar berkenaan.

“Operasi pemadaman api sedikit sukar berikutan ketika kejadian terdapat banyak kenderaan diparkir di sekeliling kawasan itu.

“Bagaimanapun, api berjaya dikawal sekitar jam 2 pagi dan dapat dipadamkan sepenuhnya jam 2.22 pagi,” katanya di lokasi kejadian, hari ini.

Katanya, kebakaran tidak membabitkan sebarang kemalangan jiwa dan punca kebakaran serta kerugian masih dalam siasatan.

“Menerusi siasatan awal dijalankan, kebakaran 30 gerai yang terletak dalam dua deretan di bazar itu membabitkan keluasan sekitar 50 kaki persegi.

“Siasatan punca kebakaran serta jumlah kerugian sedang dilakukan,” katanya,” seperti dilaporkan hmetro.com