Malaysia Dateline

300 penyokong saksikan sesi latihan Harimau Malaya

Kira-kira 300 peminat bola sepak tanah air hadir memberi sokongan kepada pasukan Harimau Malaya sewaktu sesi latihan yang diadakan di Padang A, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di sini, petang tadi.

Rata-rata penyokong berharap skuad Harimau Malaya yang berjaya mara ke final Piala AFF Suzuki 2018 dapat menewaskan Vietnam sekali gus muncul juara edisi kali ini.

Seorang pelajar USIM, Muhammad Usaid Mohd Khadir, 24, berkata walaupun tewas di peringkat kumpulan sebelum ini, harapan untuk mengalahkan Vietnam tetap ada dan pasukan Harimau Malaya mempunyai peluang besar mencatat kemenangan.

“Saya berharap jurulatih (Tan Cheng Hoe) dapat memperbaiki kelemahan yang ada dan saya yakin Malaysia boleh menang 2-0 jika kita bermain bersungguh-sungguh.

“Bak kata perdana menteri (Tun Dr Mahathir Mohamad), jangan kecewakan beliau begitu juga harapan rakyat Malaysia yang juga tidak mahu kecewa. Apa pun saya yakin pasukan kita mampu meraih kemenangan,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Sementara itu, kakitangan awam, Muhammad Zul Azri Baharuddin, 40, berkata Harimau Malaya mampu menjuarai Piala AFF Suzuki 2018 jika pemain fokus dan bersatu hati pada aksi final nanti.

“Kalau pasukan kita kekalkan momentum dan pertahanan kita tidak melakukan kesilapan, saya yakin pasukan Harimau Malaya mampu bermain dengan baik dan menang 2-0 menentang Vietnam nanti,” katanya.

Seorang pelajar, Nor Zawari Yaacob, 20, juga yakin Harimau Malaya mempunyai peluang cerah untuk merangkul kejuaraan edisi kali ini.

Perlawanan akhir Piala AFF Suzuki 2018 akan menggunakan format timbal balik dengan skuad negara bakal melayan kunjungan Vietnam di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 11 Dis, sebelum aksi final kedua di Hanoi, 15 Dis ini.

— BERNAMA