Malaysia Dateline

3,000 dekoder MyFreeview diagihkan di Kuching

Sebanyak 3,000 dekoder MyFreeview TV telah diagihkan kepada penerima Bantuan Sara Hidup(BSH)Bahagian Kuching bermula semalam dan hari ini.

Majlis penyerahan disampaikan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun)Pending,Violet Yong di Ibu Pejabat Parti Tindakan Demokratik (DAP)di Kuching.

Menurut Violet, penyerahan dekoder berkenaan adalah inisiatif yang dikendalikan DAP bersama MyTV dan SKMM (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia) sekali gus memudahkan rakyat di negeri ini untuk mendapatkan unit dekoder berkenaan.

Katanya, sejak transmisi analog ditutup sepenuhnya pada 31 Oktober lalu kepada transmisi digital, ramai penduduk di Sarawak tidak dapat menonton TV kerana masih menggunakan jenis TV lama dan tanpa dekoder tersebut mereka tidak dapat menonton TV seperti sebelum ini.

Beliau berkata , pengagihan berkenaan tidak hanya terhad kepada penerima BSH B40 di kawasan Kuching sahaja malah turut diedarkan di Sibu, Bintulu dan Miri nanti.

“Kita akan serahkan dekoder ini asalkan mereka terdapat dalam senarai pangkalan data BSH dan layak untuk menerima MyTV. Dan saya dimaklumkan ada penduduk dari Kampung Buntal, Bau dan kawasan sekitar yang datang mendapatkan unit dekoder ini” ujarnya.

Sementara itu penerima layak yang tinggal di Sibu boleh mendapatkan unit dekoder mereka di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Sibu di Tingkat 1, No.67 Pusat Komersial Rejang Park dari jam 8.30 pagi hingga 4 petang pada 23 dan 24 November ini.

Manakala penerima di Miri boleh mendapatkan dekoder mereka di Pusat Khidmat DAP Pujut di Lot 2329, Tingkat 1, Pusat Komersial Bulatan dari jam 8.30 pagi hingga 4 petang pada 26 dan 27 November.

Bagi mereka yang berada di Bintulu, mereka boleh mendapatkan dekoder di Pusat Khidmat DAP Tanjong Batu, di Tingkat 1, No.152, Lot 3438, Park City Commerce Square Phase 2, Jalan Ahmad Zaidi dari jam 8.30 pagi hingga 4 petang pada 29 dan 30 November.

Bagi menyemak kelayakan mendapatkan dekoder, orang ramai boleh menghantar SMS MYTV (jarak) DEKODER (jarak) Nombor Kad Pengenalan ke 15888, atau layari www.mytvbroadcasting.my/B40 atau hubungi Pusat Khidmat MyFreeview di talian 1-300-80-6988 atau 1800-18-1088.
Attachments area