30,000 tandatangan dengan 200 bantahan syor kedua persempadanan semula dihantar ke SPR Selangor

30,000 tandatangan dengan 200 bantahan syor kedua persempadanan semula dihantar ke SPR Selangor

 

Pakatan Harapan (PH) Selangor hari ini menyerahkan 200 bantahan dengan 30,000 tandatangan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya Negeri Selangor berkaitan Syor Kedua Kajian Persempadanan Semula Selangor.

Jawatan Kuasa Pilihan Raya PH Selangor bersama NGO Bersih yang diketuai Presiden PH Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, berdasarkan jumlah bantahan yang tinggi jelas rakyat Selangor kini semakin peka dengan hak-hak demokrasi dan kaedah perjalanan pilihan raya.

“SPR seharusnya memberikan keutamaan kepada penglibatan rakyat dalam proses Persempadanan Semula dan pastikan bahawa semua bantahan yang dihantar diberikan ruang untuk pendengaran awam,” ujarnya dalam sidang media diadakan sebelum penyerahan borang bantahan kepada Ibupejabat SPR di Shah Alam hari ini.

Dr Wan Azizah turut berkata, dengan bantahan ini ia memberi jaminan kepada hak pengundi Selangor di semua kerusi Dun dan Parlimen di negeri itu.

“Kami berharap SPR akan mengambil kira permintaan rakyat untuk memastikan pembahagian sekata boleh dibuat di semua kerusi Dun dan Parlimen di Selangor.

“Ketidaksamarataan jumlah pengundi di kawasan bandar dan luar bandar adalah sangat ketara sebagai contoh di mana N01 Sabak jumlah pengundi 15,033 dan N29 Seri Serdang 74,563 pengundi.

“Bagi kawasan yang terkesan dengan Syor Kedua ini seperti Parlimen Gombak, Ampang, Pandan dan Kuala Selangor serta Tanjong Karang.

“Kami berharap pihak SPR akan meneliti bantahan khusus yang dikemukakan oleh pengundi di kawasan tersebut,” ujarnya.

Hari ini adalah tarikh akhir penyerahan bantahan bagi syor kedua persempadanan semula kawasan pilihan raya yang akan berakhir esok 14 Februari 2018.

Turut hadir dua Timbalan Presiden PH Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Mohamad Sabu, Pengerusi Bersih Maria Chin Abdullah dan  Pengarah Pilihan Raya PH Selangor Dr Xavier Jayakumar.

Dalam pada itu  Dr Xavier  berharap SPR tidak terburu-buru meneliti syor kedua persempadanan yang dikemukakan oleh PH.

“SPR tidak perlu tergesa-gesa untuk meneliti persempadanan dan perlu dilihat dengan teliti.” ujarnya.

Muhyiddin yang juga Pengerusi Pilihan Raya PH  berkata, syor kedua persempadanan semula SPR ini apa yang penting adalah perkara yang berhubung kait dengan hak rakyat, keadilan dan demokrasi yang terkandung dalam perlembagaan perlu dipatuhi SPR.

“SPR perlu ambil masa untuk meneliti semula bantahan yang dianggap berasas dibuat Pakatan Harapan. Jika didapati bantahan dilakukan itu betul SPR perlu mengkaji semula dan jangan buat sesuatu kepada pengundi dan negeri Selangor,” ujarnya.

0.0
OVERALL SCORE
Have no any user vote
CATEGORIES