Malaysia Dateline

300,000 penerima belum terima BSH kerana salah daftar akaun

Bayaran fasa kedua Bantuan Sara Hidup (BSH) telah berjaya disalurkan ke akaun bank 3 juta penerima, bagaimanapun 300,000 penerima lagi tidak dapat dikreditkan.

Menteri Kewangan Lim Guang Eng dalam kenyataannya berkata, sebab utama bayaran gagal dikreditkan kerana nombor akaun yang didaftar tidak tepat.

Bagi BSH 2019, pembayaran untuk penerima berumur 59 tahun ke bawah adalah melalui akaun bank isteri.

Namun demikian, katanya, sebilangan penerima BSH 2019 telah mendaftarkan nombor akaun bank suami dan ini mengagalkan pengkreditan kerana nombor akaun tersebut bukan di bawah nama isteri.

Perkara ini telah diumumkan kepada setiap penerima BSH melalui surat makluman dan turut dipaparkan di dalam portal BSH untuk makluman umum.

Katanya, bagi memastikan penerima yang gagal dikreditkan menerima pembayaran berkenaan, Bank Simpanan Nasional (BSN) akan mewujudkan akaun bank baharu secara automatik untuk penerima yang berkenaan.

“Pembayaran bagi golongan tersebut akan dikreditkan terus ke akaun berkenaan mulai 14 Jun 2019,” katanya.

Namun, katanya terdapat juga penerima BSH 2019 dari kawasan pedalaman dengan akaun bank yang akan turut menerima pembayaran mulai 14 Jun 2019 manakala bagi penerima pedalaman yang tiada akaun pula akan dibuat mulai 1 Julai 2019 secara tunai.

Fasa kedua pembayaran BSH ini melibatkan peruntukan sebanyak RM1.42 bilion dan memanfaatkan hampir 3.6 juta penerima BSH.

Sekiranya terdapat sebarang pertanyaan lanjut, boleh menghubungi talian bebas tol penerima BSH boleh menghubungi 1800-88-2747 serta emel kepada [email protected]