Malaysia Dateline

31 individu berhimpun di Dataran, kenang korban Covid-19 dikompaun RM62,000

Kesemua 31 individu yang ditahan kerana menyertai himpunan di padang Dataran Merdeka semalam, dikompaun sebanyak RM2,000 seorang dengan jumlah keseluruhan RM62,000.

Kumpulan berkenaan terdiri daripada 17 lelaki dan 14 wanita yang ditahan.

Himpunan yang dianjurkan sekumpulan anak muda itu dikatakan bagi mengenang korban mangsa Covid-19 yang sudah mencapai 13,480 kematian setakat semalam.

Bagaimanapun menurut Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya, mereka didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) kerana terbabit dalam perhimpunan bermula jam 8 malam.

“Kumpulan berkenaan didapati ahli Sekretariat Solidariti Rakyat (SSR) yang berhimpun di Dataran Merdeka malam tadi sempena program memperingati mereka yang gugur akibat pandemik COVID-19.

“Mereka membakar lilin dan memegang kain rentang putih bertulis ‘Belasungkawa Jiwa-Jiwa Yang Telah Pergi’,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

Kesemua mereka dikompaun mengikut Seksyen 9 (5) Akta Perhimpunan Aman 2012, Seksyen 21A Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Menerusi video yang tersebar semalam, polis dilihat mengheret beberapa peserta menaiki lori Black Maria yang kemudian membawa mereka ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi untuk dirakam kenyataan.

Pihak polis juga merampas kad pengenalan para peserta dan menghentikan himpunan tersebut pada jam 8.30 malam.

Bersih menerusi Facebooknya memaklumkan bahawa kesemua peserta yang ditahan telah dilepaskan pada jam 1.10 pagi.