Malaysia Dateline

33 pegawai PDRM naik pangkat

Polis Diraja Malaysia (PDRM), mengumumkan kenaikan pangkat dan pertukaran 33 pegawai yang akan berkuat kuasa 1 November ini.

Mendahului senarai pertukaran ialah Timbalan Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Bukit Aman, Datuk Saiful Azly Kamaruddin.

Superintendan Komunikasi Korporat, Urus Setia Ketua Polis Negara, Superintendan A Skandaguru, berkata Saiful Azly akan bertukar sebagai Ketua Urus Setia Ketua Polis Negara (Penyelidikan dan Pembangunan) Bukit Aman.

“Jawatan beliau akan digantikan dengan Timbalan Pesuruhjaya Sabah, Datuk Mazli Mazlan.

“Jawatan Timbalan Pesuruhjaya Sabah pula akan diambil alih Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Sabah, Datuk Jauteh Dikun dengan memangku pangkat Deputi Komisioner,” katanya dalam kenyataan semalam

Beliau berkata, pertukaran turut membabitkan Ketua Penolong Pengarah Pengurusan (Perjawatan), Bahagian Perkhidmatan/Perjawatan, Jabatan Pengurusan Bukit Aman, Datuk Azizi Mat Aris sebagai Timbalan Ketua Polis Perak dengan memangku pangkat Deputi Komisioner.

“Juruiring Polis Kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Datuk Yahaya Othman akan ditukarkan sebagai Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur dengan memangku pangkat Deputi Komisioner.

“Turut ditukarkan, Ketua Penolong Pengarah (D1) Kepolisan Kawalan Dalaman, JSJ Bukit Aman, Datuk Zainol Samah yang ditukarkan sebagai Timbalan Pengarah Forensik/Perancangan Strategik, JSJ Bukit Aman dengan memangku pangkat Deputi Komisioner,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, pertukaran juga membabitkan Komander Pasukan Simpanan Persekutuan, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Hamzah Ahmad.

Beliau akan ditukarkan sebagai Komander Eastern Sabah Security Command (ESSCOM), Kementerian Dalam Negeri dengan memangku pangkat Deputi Komisioner.

“Timbalan Ketua Pengarah Agensi Keselamatan Sempadan, Kementerian Dalam Negeri, Senior Asisten Komisioner Ibrahim Saad akan ditukarkan sebagai Senior Asisten Komisioner Pasukan Gerakan Am, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Bukit Aman.

“Pertukaran juga membabitkan Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Perak, Senior Asisten Komisioner Mohd Alwi Zainal Abidin sebagai Ketua Penolong Pengarah Pengurusan (Perjawatan), Bahagian Perkhidmatan/Perjawatan, Jabatan Pengurusan Bukit Aman,” jelasnya.

Dalam pada itu, katanya beberapa Ketua Polis Daerah juga tersenarai dalam pertukaran kali ini, antaranya Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor yang ditukarkan sebagai Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Perak dengan memangku pangkat Senior Asisten Komisioner.

“Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli akan ditukarkan sebagai Timbalan Pengarah (Kewangan/Perolehan/Kepolisan Am) Jabatan Logistik dan Teknologi Bukit Aman dengan memangku pangkat Senior Asisten Komisioner.

“Selain itu, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd Said Ibrahim pula ditukarkan sebagai Komander Pasukan Simpanan Persekutuan, JKDNKA Bukit Aman dengan memangku pangkat Senior Asisten Komisioner,” katanya.

Turut tersenarai dalam pertukaran kali ini ialah Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad yang ditukarkan sebagai Ketua Penolong Pengarah (D1) Kepolisan Kawalan Dalaman, JSJ Bukit Aman dengan memangku pangkat Senior Asisten Komisioner.

“Timbalan Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Selangor, Superintendan Amihizam Abdul Shukor pula ditukarkan sebagai Ketua Polis Daerah Brickfields, Kuala Lumpur dengan memangku pangkat Asisten Komisioner.

“Sementara itu, Superintenden (D14) Pengawasan JSJ, Bukit Aman, Superintenden Mohd Radzi Ahmad ditukar sebagai Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara dengan memangku pangkat Asisten Komisioner, manakala Superintenden (D3) Risikan/Operasi JSJ Bukit Aman, Superintenden Cha Hoong Fong ditukar sebagai Ketua Polis Daerah Klang Selatan dengan memangku pangkat Asisten Komisioner,” katanya.

Turut ditukarkan, Ketua Polis Daerah Arau, Perlis, Superintenden Nanda Maarof yang ditukarkan sebagai Ketua Polis Daerah Seremban, Negeri Sembilan dengan memangku pangkat Asisten Komisioner.