Malaysia Dateline

334 kes kematian baharu, Malaysia di tangga ke-31 negara jumlah korban Covid-19 tertinggi

Sebanyak 334 kematian akibat Covid-19 dilapor semalam menjadikan jumlah korban setakat ini seramai 24,078 orang.

Lebih 300 kes kematian baharu dilapor untuk enam hari berturut-turut dengan rekod tertinggi mencecah 592 maut pada 11 September.

Dalam masa sama, statistik semasa menyaksikan Malaysia berada di kedudukan ke-31 negara tertinggi di dunia merekodkan kes kematian Covid-19.

Di peringkat Asia Tenggara, Malaysia kini di tangga ketiga selepas Filipina dan Indonesia masing-masing 37,074 dan 140,805 kes kematian.

Daripada bilangan kematian baharu di Malaysia semalam, sebanyak 25.15 peratus atau 84 orang membabitkan kes kematian di luar hospital (BID) iaitu pesakit Covid-19 meninggal dunia sebelum mereka sempat menerima rawatan di hospital.

Selangor mencatatkan jumlah kematian baharu tertinggi dengan 187 maut, merangkumi hampir 56 peratus daripada jumlah keseluruhan.

Ia disusuli dengan Johor (37), Kelantan (20), Kuala Lumpur (18), Sabah (14), Perak (12), Sarawak (10), Kedah (8), Pahang (7), Pulau Pinang (7), Terengganu (6), Negeri Sembilan (5) dan Melaka (3).

Tiada kematian baru yang dilaporkan di Perlis, Labuan dan Putrajaya.

Sebanyak 105 daripada 334 kematian yang dilaporkan berlaku dalam tujuh hari terakhir dan hanya empat kematian yang berlaku semalam.

Baki kematian yang dilaporkan lebih lama dari tempoh seminggu kerana tunggakan.

Purata 330 kematian Covid-19 dilaporkan setiap hari dalam 30 hari terakhir. Purata kematian untuk tempoh tujuh hari adalah 356.