Malaysia Dateline

34 agensi sertai ekspo anjuran Persatuan Suara Pengguna Sarawak

Persatuan Suara Pengguna Sarawak (COVAS) telah menganjurkan Ekspo Konsumer bersama 34 buah agensi terdiri daripada agensi-agensi kerajaan dan Badan Bukan Berkanun (NGO) di ViVacity Megamall, Kuching, semalam.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Chong Chieng Jen hadir merasmikan pembukaan ekspo tersebut yang berlangsung sejak 14 Februari sehingga hari ini bermula jam 10.00 pagi hingga 9.00 malam.

Antara yang terlibat dalam ekspo kali Ke-3 dianjurkan oleh COVAS di Sarawak ialah KPDNHEP, Bank Negara Malaysia, Agensi Kaunselling dan Pengurusan Kredit, Jabatan Insolvensi Malaysia, Lembaga Hasil Dalam Negeri, Suruhanjaya Koperasi Malaysia, Jabatan Penerangan Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Biro Pengaduan Awam, ANGKASA serta pihak COVAS sendiri.

Selain pameran, pelbagai perkhidmatan turut disediakan seperti kaunter khidmat nasihat, tatacara membuat permohonan dan mendapatkan bantuan, talian aduan serta maklumbalas dan sebagainya.

Sebelum itu, dalam ucapannya Chong berkata, ekspo tesebut adalah menjadi satu landasan bagi pengguna khususnya kepada penduduk Sarawak kerana dengan penyertaan jabatan kerajaan dan agensi lain yang terlibat akan membuka mata dan mendedahkan para pengguna kepada berbagai fungsi sebenar kerajaan yang saling berkait dengan hak-hak pengguna.

“Kita semua adalah pengguna termasuklaH para peniaga dan berhak mengetahui hak-hak dan tanggungjawab kita sebagai pengguna.

“Buat perancangan, berhemah dalam berbelanja agar tidak dibelenggu dengan masalah kewangan di kemudian hari,” ujarnya.

Sebelum itu, Presiden COVAS, Michael Tiong menyeru kepada warga Kuching mengambil kesempatan untuk membuat pertanyaan kepada agensi-agensi terlibat semasa ekspo ini agar kemusykilan berkaitan hak pengguna dapat diajukan kepada pihak yang betul.

Dalam majlis yang sama, Chong turut menyampaikan cek berjumlah RM21 ribu kepada tujuh persatuan iaitu Persatuan Autisme Kuching, Grace Centre, Persatuan Bulan Sabit Merah Kuching, Persatuan OKU Kuching (House of Joy), Sarawak Childrens Cancer Society, Sarawak Society for the Deaf dan Persatuan Kebajikan Harapan Kuching.

Turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha KPDNHEP Datuk Rostam Affendi Dato Salleh, Pengarah KPDNHEP Sarawak Dato Stanley Tan dan Naib Presiden COVAS Samsudin Ab. Rahman.