Malaysia Dateline

34 haiwan terlindung diselamatkan di Sarawak

Sebanyak 34 ekor haiwan daripada 10 spesies berlainan telah berjaya diselamatkan di Telok Melano Sematan, Sarawak.

Menurut Ketua Pegawai Eeksekutif Sarawak Forestry Corporation (SFC Zolkipli Mohamad Aton, pihaknya telah bekerjasama dengan Jabatan Polis Marin dan Jabatan Imigresen telah berjaya menyelamatkan 34 ekor hidupan liar terlindung dari sebuah rumah ladang.

Katanya,SFC telah bertindak hasil maklumat daripada Pasukan Gerakan Am (PGA) dan operasi berkenaan berjaya menyelamatkan 34 ekor haiwan daripada 10 speses berlainan.

Jelas beliau, antaea haiwan yang berjaya diselamatkan termasuk seekor kongkang, landak, binturung, burung tiung mas dan burung merbok.

” Turut diselamatkan ialah 13 ekor merpati hijau, bayan (enam), murai batu (empat), tekukur (empat) dan murai kampung (dua),” katanya dalam satu kenyataan di Kuching hari ini.

Zolkipli menambah, pemilik rumah ladang tersebut gagal mengemukakan lesen sah yang diperolehi daripada Kawalan Hidupan Liar.

Katanya lagi kesemua haiwan tersebut akan dihantar ke Pusat Hidupan Liar Matang untuk penempatan sementara sebelum dilepaskan semula ke habitat asal.

“Orang awam yang menyimpan spesies terlindung secara haram boleh dihukum penjara setahun dan didenda RM10,000.

“Untuk hidupan liar terlindung sepenuhnya, mereka yang disabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara lima tahun dan denda sehingga RM50,000,”ujarnya.

Tegasnya,kejayaan operasi tersebut merupakan hasil daripada kerjasama empat agensi terbabit.

“Ini menunjukkan hasil positif inisiatif SFC dalam mewujudkan kesedaran mengenai perdagangan hidupan liar haram di Sarawak,” tambah beliau.