34 kali hadiri kenduri kahwin pada Disember? Kad laporan Idris Ahmad dikritik macam KPI ketua kampung

Oleh KIM SYAZIE

Kad laporan bulanan Ahli Parlimen Bagan Serai, Datuk Idris Ahmad mendapat perhatian warganet selepas portal rasmi Pas, Harakahdaily memuat naik rangkuman aktiviti dilakukan pemimpin Pas itu sepanjang Disember tahun lalu.

Kad laporan yang disebarkan itu mengandungi senarai 7 program yang telah dihadirinya. Ia termasuklah;

Pertemuan bersama agensi kerajaan (3)

Ziarah dan beri bantuan pada warga emas/ OKU/ orang sakit/ Asnaf (82)

Ziarah kematian (15)

Ziarah dan bantuan kepada mangsa musibah (6)

Majlis perkahwinan (34)

Majlis kesyukuran/ Aqiqah/ Tahlil (17)

Lain-lain program (5)

Kad laporan ini merangkumi aktiviti sepanjang satu bulan pada Disember 2022.

kad laporan

Di Facebook, rata-rata memberi komen terhadap kad laporan itu dan menegur Naib Presiden Pas itu yang dilihat seperti seorang ketua kampung.

Sepanjang satu bulan lalu, mereka mengatakan Idris tidak melakukan kerja yang bagus kerana aktivitinya hanyalah sekadar memenuhi jemputan perkahwinan dan menziarah orang kampung.

“Bagus dah tu menyantuni rakyat tapi patut kena bentang laporan KPI (prestasi) dalam menyelesaikan masalah rakyat setempat. Kena ada beza ketua kampung dan Ahli Parlimen,” komen Hazwan Amir di Facebook.

Mereka juga menyindir Idris mengatakan beliau akan menjadi Ahli Parlimen yang mempunyai rekod terbanyak hadiri ke kenduri perkahwinan.

“Syabas Yb, dengan prestasi sebegini, dijangka penggal Parlimen ke 15 ini, YB akan mencapai rekod pergi kenduri kahwin sebanyak sekitar 2040 kenduri,” tulis Muhamad Khairul

“Tahniah Datuk atas kejayaan pergi kenduri kahwin sebanyak 34 kali dalam sebulan. Tapi diharapkan Datuk dapat juga masukkan tugasan hadir ke majlis Hari Jadi sebab tak nampak dalam list,” kata Faisal Razali.

Pada masa sama, ada yang berkongsikan tugas dan tanggungjawab utama Ahli Parlimen dan Adun di mana wakil rakyat sebenarnya bertanggungjawab melaksanakan peranan semak dan imbang terhadap kerajaan atau exco negeri.

MP juga perlu mengambil bahagian di dalam jawatankuasa-jawatankuasa Parlimen atau Dewan di dalam merangka dasar dan undang-undang

Selain itu, mereka perlu memerhati segala perlaksanaan kerajaan agar ianya dapat memberikan manfaat kepada rakyat dengan sepenuhnya.

Tanggungjawab setiap MP dan Adun di dalam Parlimen dan dewan-dewan negeri adalah merangkumi perkara-perkara berkaitan seni kerajaan atau politik, urus-tadbir negara atau negeri-negeri serta penggubalan dasar awam (public policy).

Hal berkenaan masalah harian seperti melawat longkang pecah, menziarahi penduduk sakit atau hadir ke kenduri perkahwinan sepatutnya diperhatikan oleh ahli-ahli majlis bandaraya, majlis perbandaran, majlis daerah serta jawatankuasa-jawatankuasa kemajuan dan keselamatan kampung (JKKK).

Ini kerana wakil-wakil peringkat tempatan inilah yang dapat berurusan dengan pihak berkuasa tempatan dengan lebih berkesan.

Baca juga : Sabah: Istana Seri Kinabalu, Sri Gaya terus jadi tumpuan