35,000 bendera diedar percuma dalam kempen kibarkan bendera Wilayah Persekutuan

35,000 bendera diedar percuma  dalam kempen kibarkan bendera Wilayah Persekutuan
Khalid Abdul Samad ketika berucap pada Majlis Pelancaran Kempen Kibarkan Bendera Wilayah Persekutuan di Lobi Menara DBKL 1 hari ini.

Kementerian Wilayah Persekutuan akan mengedarkan sebanyak 35,000 bendera Wilayah  Persekutuan dalam pelbagai saiz secara percuma kepada warga kota untuk kempen Sambutan Hari Wilayah yang akan diadakan pada 1 Februari depan.

Kementerian Wilayah dalam kenyataan hari ini berkata, sebanyak 1,000 bendera tangan akan diedarkan di tiga lokasi terpilih iaitu di bangunan Majlis Amanah Rakyat (Mara) di Jalan Raja Laut, Pusat Membeli Belah Sogo dan Berjaya Times Square.

Tahun ini sambutan Hari Wilayah Persekutuan bertemakan “Sayangi Wilayahku” dipilih seiring dengan integrasi nasional dan kesejahteraan yang menjadi penggerak utama bagi agenda memperkasakan perpaduan dalam kalangan masyarakat.

Kementerian juga mengatur 21 program sepanjang bulan Februari depan sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2019.

Hari ini Menterinya Khalid Abdul Samad turun padang mengedarkan bendera tangan kepada warga kota sebagai tanda bermulanya kempen Kibarkan Bendera Wilayah Persekutuan.

Kempen kibarkan bendera ini diadakan hari ini sebagai acara kick- off kepada acara kemuncak sambutan hari Wilayah Persekutuan pada 1 Februari depan.

Khalid dalam ucapannya berkata, kempen yang diadakan kali pertama di bawah Pakatan harapan itu akan diedarkan di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

“Sebagai warga wilayah persekutuan, Kuala Lumpur sebagai ibu negara merupakan bandaraya istimewa dan kita akan menganjurkan kebanyakan daruipada progeram yang diadakan sepanjang bulan Februari ini.

“Bendera akan diedarkan percuma di premis perniagaan, perumahan dan jabatan kerajaan.

“Kita harap dengan pengedaran bendera ini akan menimbulkan suasana kemerian dengan mengibarkan bendera wilayah di kereta dan bangunan,” ujarnya.

Turut hadir Datuk Bandar Kuala Lumpur  Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan dan Timbalan Menteri Wilayah Datuk Dr Shaharuddin Md Salleh.