Malaysia Dateline

35,000 pekerja bakal dipecat jika enggan ambil vaksin Covid-19

Enggan mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 boleh diberhentikan kerja.

Itu yang berlaku di San Francisco apabila sebanyak 35,000 golongan pekerja di bandar raya itu tanpa kompromi diwajibkan menerima suntikan tersebut.

Pengecualian vaksin akan diberi kepada mereka yang mempunyai masalah kesihatan atau berkaitan keagamaan.

Bagaimanapun, lapor Metro dipetik Utusan Online, pekerja yang menolak untuk divaksin tidak akan ‘diberi muka’.

Ketua Polisi Jabatan Sumber Manusia San Francisco, Mawuli Tugbenyoh berkata, polisi baharu itu akan melibatkan semua golongan pekerja termasuk polis, bomba, pengendali perkhidmatan pengangkutan dan pentadbiran majlis perbandaran.

Terdahulu, sebanyak 150 petugas perubatan di sebuah hospital di Texas, Houston dipecat selepas enggan mengambil suntikan vaksin Covid-19.

Semua pekerja di bandar raya ini mempunyai masa selama 10 minggu untuk mendapatkan suntikan vaksin.

Bermula awal minggu ini, setiap pekerja mempunyai tempoh 30 hari untuk memaklumkan tentang status vaksinasi, selain perlu menunjukkan bukti sekiranya sudah mendapatkan imunisasi.

Sehingga 23 Jun lalu, kira-kira 55 peratus pekerja di San Francisco sudah menerima vaksin.