36 calon Pakatan Harapan isytihar harta

Pemuda AMANAH bersama Presiden Mohamad Sabu pada majlis pengisytiharan harta kepada Invoke.

Seramai 36 calon Pakatan Harapan (PH) berpotensi diketuai Presiden AMANAH, Mohamad Sabu mengisytiharkan harta mereka kepada Invoke Malaysia di Subang Jaya malam tadi.

Antaranya termasuk bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Nizar Jamaluddin, bekas Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad, Setiausaha Agung AMANAH, Anuar Tahir dan Timbalan Ketua Pemuda AMANAH Nasional, Faiz Fadzil.

Turut membuat pengisytiharan sama demi politik yang bersih pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) ini, Ahli Parlimen Kuala Langat, Abdullah Sani Abdul Hamid; Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil dan Pengerusi PKR Johor, Hassan Karim.

Ahli Parlimen Sepang, Hanipa Maidin juga membuat pengumuman sama menunjukkan baki wang tunai di akaun bank miliknya yang hanya berjumlah RM900.

Ahli Parlimen Kuala Langat, Abdullah Sani Abdul Hamid antara pimpinan PKR yang mengumumkan jumlah aset.

Majlis Pengisytiharan Harta di The Summit USJ itu turut menyaksikan mereka menandatangani Akujanji Khidmat Rakyat yang dikelolakan Invoke.

Akujanji tersebut menyenaraikan beberapa syarat utama, termasuklah keperluan membayar RM20 juta sekiranya melompat parti.

Bercakap kepada pemberita selepas majlis pengisytiharan harta sesi ke-2 Invoke Malaysia, pengasas badan itu, Rafizi Ramli berkata, pihaknya mengambil masa lama untuk meyakinkan 75 orang calon berpotensi untuk melakukannya.

“Perlukan keberanian yang tinggi untuk lakukan perkara ini.

“Ada yang miskin rasa malu, duit ada seribu, dua ribu ringgit sahaja, (mereka yang ada) duit lebih takut orang minta duit,” ujarnya.

Ahli Parlimen Pandan yang giat dengan siri Jelajah Bina Semula Negara itu berkata, faktor privasi juga menyebabkan ada pemimpin yang mengambil masa untuk mengisytiharkan harta masing-masing.

“Saya kenal wakil rakyat yang jujur tapi teragak-agak bukan sebab rasuah tetapi ia berkaitan privasi, sebab itu ambil masa lama utuk yakinkan mereka melakukan perkara ini,” tambahnya lagi.

Kumpulan pertama telah mengisytiharkan aset pada 19 November 2017.

6.5
OVERALL SCORE
3 user votes x 8.7