Malaysia Dateline

36 mangsa culik di Cameroon dibebaskan

Seramai 36 penumpang dibebaskan pada Rabu, sehari selepas mereka diculik kumpulan bersenjata di lebuh raya Buea-Kumba, barat daya Cameroon, kata pihak berkuasa.

“Mereka (penculik) membawa kami ke suatu tempat dan merampas wang tunai, telefon serta barang berharga lain sebelum membebaskan kami. Mereka mengarahkan kami jalan kaki ke destinasi masing-masing,” kata mangsa, Divine Asong.

“Kami terpaksa berjalan jauh. Ia pengalaman yang menyedihkan,” katanya dipetik agensi berita Xinhua.

Sejurus dibebaskan, penduduk tempatan mengadakan mesyuarat tergempar dengan pegawai kerajaan di Kumba, sebuah bandar komersial di rantau Anglophone, Cameroon, bagi membincangkan cara mengatasi kejadian culik yang berleluasa.

“Kami mahu kerajaan mengambil langkah segera mengembalikan keamanan di kawasan itu. Antara lain, kami meminta pemimpin pemisah yang ditahan supaya dibebaskan dan kawasan berkaitan dijadikan zon bebas tentera bagi menenangkan penduduk,” kata seorang penduduk tempatan.

Kes culik itu berlaku kira-kira dua bulan selepas 79 murid diculik di Bamenda, bandar padat penduduk di barat laut Cameroon, satu lagi kawasan didiami majoriti penduduk berbahasa Inggeris.

Kerajaan menyalahkan kumpulan pemisah melakukan penculikan itu manakala puak bersenjata terbabit pula mendakwa militia kerajaan menculik bagi memburukkan imej pemisah di mata dunia.

— BERNAMA