Malaysia Dateline

Datuk Dr Abdul Rahman Osman

36 penceramah agama perlu minta kebenaran MUIP

Jabatan Mufti Pahang akan menyenaraikan 36 penceramah yang perlu mohon kebenaran daripada Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu (MUIP) dan Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) sebelum menyampaikan kuliah di negeri ini.

Mufti Pahang Datuk Seri Abdul Rahman Osman berkata langkah itu dilakukan untuk mengelakkan berlakunya kekeliruan dan perpecahan dalam kalangan umat di negeri ini disebabkan perbezaan amalan yang dibawa mereka.

Menurutnya panel yang dilantik sedang melengkapkan perincian terakhir seperti peraturan yang perlu dipatuhi sebelum senarai nama itu dikeluarkan dalam tempoh seminggu atau dua minggu lagi.

“Ada di antara mereka yang disenaraikan adalah individu yang popular… ada juga individu yang popular serta mempunyai kedudukan, namun telah dilarang daripada menyampaikan kuliah di beberapa negeri.

“Nama individu yang mempunyai nama dan kedudukan ini tidak akan dimasukkan dalam senarai, tetapi akan dimaklumkan secara peribadi supaya individu itu juga memohon kebenaran,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Abdul Rahman menambah mereka yang terlibat hanya perlu mendapatkan kebenaran sekali sehaja, namun sebelum itu perlu menjalani prosedur seperti temuduga dengan pihak berkuasa agama.

Beliau berkata senarai itu akan diedarkan ke semua masjid dan surau di Pahang manakala pemantauan akan dilakukan pihak berkuasa agama dengan bantuan badan bukan kerajaan (NGO) dan mereka yang masih menjemput individu yang tidak memperoleh kebenaran boleh dianggap bersubahat.

Beliau menambah mereka yang tidak dinamakan dalam senarai itu juga digalakkan untuk memohon kebenaran bagi kemudahan semua pihak.

Terdahulu, Abdul Rahman berterima kasih kepada 50 NGO Islam Negeri Pahang dan Pusat Pengajian Pondok Negeri dan Tahfiz Negeri Pahang atas sokongan kepada Seksyen 36 Enakmen Pentadbiran Undang-Undang Islam 1991, iaitu tidak dibenarkan menyesatkan amalan Khilafiyah atau didakwa Bid’ah Dhololah atau menyesatkan.

Katanya, kerajaan negeri Pahang dengan perkenan Pemangku Raja Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah telah mewartakan 27 amalan khilafiyah sebagai amalan yang tidak boleh dihukum sebagai sesat, berdasarkan pandangan ulama mengikut hukum syarak.

Perkara itu diwartakan pada 4 Ogos lalu dan telah ditampal di masjid dan surau di Pahang supaya umat Islam tidak lagi keliru untuk melakukan amalan itu, yang merupakan amalan yang baik, katanya.

Antaran amalan itu ialah menziarahi kubur pada hari raya, sedekah bacaan Al-Fatihah atau membaca al-Quran kepada si mati, membaca wirid dan zikir secara kuat selepas solat fardu, membaca doa qunut dalam solat Subuh, membaca talkin untuk si mati dan mengadakan kenduri arwah dengan membaca Yasin dan bertahlil.

“Ini juga termasuk dengan amalan bilangan rakaat solat sunat tarawih sebanyak 20 rakaat, yang sebenarnya selari dengan titah Pemangku Raja Pahang baru-baru ini, supaya masjid melakukan 20 rakaat supaya orang ramai berpeluang melakukan lebih ibadat pada bulan Ramadan,” katanya.