Malaysia Dateline

3,632 penerima SelVax belum terima sijil vaksin digital MySejahtera

Kerajaan Selangor masih menunggu maklum balas daripada Menteri Kesihatan Khairy Jamaludin yang berjanji akan membawa cadangan membenarkan sijil vaksin SELangkah ke Mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Dalam kenyataan pejabat Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam, Perpaduan, Pembangunan Wanita dan Keluarga berharap agar cadangan berkenaan dapat diluluskan oleh MKN dengan kadar segera demi kepentingan rakyat di negeri Selangor.

Keperluan terhadap sijil vaksinasi digital yang telah pun menjadi dokumen pengesahan bagi individu setelah menerima vaksin.

Terdapat aduan yang dikemukakan oleh sebilangan penerima vaksin di bawah Program Vaksin Selangor (SelVax) yang masih belum memperoleh sijil vaksin digital di aplikasi MySejahtera.

Setakat 7 September 2021, SELangkah telah menghantar sejumlah 159,919 rekod penerima yang telah lengkap 2 dos vaksin SelVax kepada pasukan MySejahtera.

Menurut rekod SELangkah, sebanyak 3632 aduan telah diterima daripada mereka yang masih belum memperoleh sijil vaksinasi digital MySejahtera dan dikhuatiri angka sebenar adalah lebih ramai.

Bagi menyelesaikan isu ini, Kerajaan Negeri melalui Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam Dr Siti Mariah Mahmud telah pun memohon penjelasan daripada pihak CITF dan dimaklumkan bahawa pihak MIMOS menghadapi masalah teknikal dalam mengintegrasikan sehabagian data penerima vaksin SelVax ke dalam sistem MySejahtera.

“Pihak MIMOS memaklumkan bahawa proses tersebut akan memakan masa dan tidak dapat memberi kepastian bilakah isu ini akan diselesaikan

“Sehubungan dengan itu, Kerajaan Negeri telah memohon kepada pihak CITF supaya penerima vaksin di bawah program SelVax diberi kebenaran untuk menggunakan sijil vaksinasi digital SELangkah buat sementara waktu,” kata kenyataan itu.