Malaysia Dateline

37 ingkar PKP ditangkap di Sarawak

Akibat melanggar Perintah Kawalan Pergerakan(PKP), seramai 37 orang telah ditangkap melalui sekatan jalan raya mulai jam 8 malam tadi hingga jam 8 pagi ini di seluruh Sarawak setakat ini.

Menurut Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Aidi Ismail, mereka yang ditangkap adalah terdiri seramai 33 lelaki empat lagi adalah wanita.

Katanya, Bahagian Bintulu mencatat jumlah tangkapan tertinggi iaitu seramai lapan orang, Kuching(6) orang, Miri dan Bau masing-masing (5), Lundu (4), Padawan(3) Limbang (2) dan masing-masing satu tangkapan di Kota Samarahan dan Serian.

“Mereka ditangkap kerana tidak dapat memberi alasan yang sah untuk berada di jalan raya atau tempat awam sepanjang PKP.

“Kesemua mereka telah dibebas dengan jaminan polis setelah percakapan mereka dirakam,” ujar beliau dalam satu kenyataan di Kuching hari ini.

Aidi menambah, tangkapan adalah dibuat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan / Peraturan 7 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempat Jangkitan 2020).

Beliau menegaskan, kesemua suspek jika disabitkan kesalahan boleh dijatuhkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali.