Seramai 37 kes baharu positif Covid-19 melalui Kluster Pasai direkodkan di Rumah Langi, Sibu hari ini selepas menghadiri majlis pengebumian keluarga baru-baru ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Bahagian Sibu, Charles Siaw berkata, mereka dikesan menerusi hasil saringan kes seorang wanita yang balik dari Johor (kes 1,175) pada 29 Disember lalu.
Katanya, sebelum ini kes 1,175 telah diumumkan oleh JPBN Sarawak pada 7 Januari 2021 dan sedang dirawat di Hospital Sibu.
“Pada 29 Disember 2020, kes telah balik dari Johor Baharu melalui Kuala Lumpur menaiki penerbangan Firefly jam 8.00 pagi seterusnya mengambil penerbangan transit Malaysia Airlines MH2536 Kuala Lumpur ke Kuching pada jam 1.35 petang pada hari sama.
“Setelah tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, kes telah diambil swab kali pertama dan keputusan adalah negatif.
“Kes kemudian terus ke Sibu dengan menaiki penerbangan AirAsia AK6466 dari Kuching dan tiba pada jam 8.50 malam sekali gus diberikan pelepasan untuk menjalankan kuarantin di rumah di Pasai Siong (Rumah Langi lebih kurang 15 Kilometer daripada simpang Jalan Teku Pasai Siong) bagi menghadiri upacara pengkebumian bapanya.
“Swab kedua kes pula telah diambil pada 5 Januari 2021 di Klinik Kesihatan Jalan Lanang dan keputusan telah didapati positif Covid-19 pada 6 Januari 2021,” jelas Charles.
Beliau yang juga Residen Bahagian Sibu memberitahu, pada 7 Januari 2021, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah membuat saringan kepada 74 orang penduduk di Rumah Langi dan keputusan pada 8 Januari 2021 mendapati seramai 37 kes positif telah dikesan.
“Saringan akan dijalankan ke rumah panjang berdekatan esok dengan Rumah panjang yang terlibat adalah Rumah Jelian Nayor, Ringgit Unchu, Langi Ambau, Pom Maja, Nyanggai Alok, Jeram Empin, Kelly Chundau dan Nyambong Ajon.
“Manakala pihak polis telah membuat sekatan di simpang jalan masuk ke Rumah Langi, Pasai Siong pada jam 11.30 malam pada 8 Januari 2021.
“Makanan dan kemudahan kesihatan akan diberi kepada sembilan rumah panjang yang terlibat dalam sekatan jalan tersebut,” tegasnya.
Justeru, beliau berharap kepada sesiapa yang telah menghadiri upacara pengebumian di Rumah Langi, Pasai Siong pada 29 Disember hingga 31 Disember lalu diminta hadir membuat pemeriksaan dan saringan di Klinik Kesihatan Jalan Lanang atau Klinik Kesihatan Sibu Jaya nanti.